Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Bagaimana pula dengan menghina agama orang lain?

Di Malaysia, perkataan agama selalu ditakrifkan sebagai Islam. Agama di Malaysia selalunya difahami sebagai Islam. Seolah-olah di Malaysia hanya satu agama yang wujud. 

Pengertian ini jadi begitu kerana majoriti penduduk Malaysia adalah Melayu, dan Melayu di Malaysia beragama Islam. 

Jadi bila dikatakan menghina agama, secara automatik, fakulti pemikiran kita umumnya akan mengarah kepada menghina Islam. 

Jarang sekali bila dikatakan menghina agama, kita akan terarah kepada ‘menghina Kristian, Yahudi, Hindu atau Buddha.

Siti Nuramira Abdullah (tengah)

Pertama sekali harus dijelaskan, perbuatan Siti Nuramira Abdullah yang menghina Islam di Crackhouse baru-baru ini jelas tiada etika dan estetika. Tidak lawak, malahan makin menguatkan naratif Kanan.

Tetapi bagaimana pula dengan perbuatan menghina agama orang lain? Adakah ia dibolehkan?

Kritik bukan hina

Mengkritik agama dan menghina agama adalah dua perbuatan yang seharusnya dibezakan. Richard Dawkins, seorang atheist, membicarakan agama dengan tajuk yang provokatif, “religion root of all evil”.

Richard Dawkins

Bila ia jadi debat, atau buku, yang secara jujur membicarakan masalah-masalah dalam agama ataupun mana-mana kepercayaan, ia tidak seharusnya ditanggap sebagai menghina. 

Sebaliknya dalam masyarakat yang terbuka, ia dianggap ilmiah dan harus ditanggap secara ilmiah juga. Maka dengan itu, mana-mana sarjana atau penulis yang kompeten harus membalas hujah-hujah Dawkins dengan ilmiah. 

Ini adalah satu upaya untuk melahirkan suatu masyarakat yang sihat. Sama juga bila Karl Marx menulis, “agama candu masyarakat”, ia wajar dibahaskan dengan ilmiah. 

Karl Marx

Tetapi dalam masyarakat yang tertutup dan terkurung dalam tempurung, yang hanya seorang atau satu pihak sahaja dibenarkan berbicara, berkhutbah, berceramah sementara pihak yang berbeza dirantai, diikat kaki tangan dan digam mulut. 

Hanya telinga dibenarkan terbuka untuk diperdengarkan segala perbicaraan, khutbah dan ceramah satu pihak. 

Kerana itu hanya Zakir Naik, Bilal Philips dan Hamza Yusof yang dijemput, tidak wakil-wakil agama mahupun tidak beragama lain dijemput. 

Keadaan yang berlarutan sebegini mewujudkan iklim tidak sihat. 

Lantas orang ramai hilang percaya pada institusi yang tidak adil dan mencari-cari tempat lain bagi memberikan pandangan tanding atau membenarkan suara-suara yang tidak dibenarkan selama ini. 

Tempat-tempat itu antaranya Crackhouse.

Kita harus tidak lupa pada kejadian dakwaan menghina agama lain di Malaysia. Antaranya seperti dakwaan Ustaz Syakir Nasoha pada bulan Oktober 2021, menghina agama Hindu dan Buddha termasuk Dayak. 


Baca: Syakir Nasoha perjelas klip ceramahnya diambil di luar konteks


Wan Asshima pada Mac tahun yang sama juga didakwa menghina Kristian.


Baca: Aktivis menangis mengaku salah buat hantaran jelik


Untuk mewujudkan masyarakat sekular yang beretika dan harmoni, bukan hanya Islam yang tidak dibenarkan dihina, bahkan juga agama-agama lain. 

Syakir Nasoha

Tetapi hal ini nampak agak sukar wujud di Malaysia kerana ustaz atau ustazah yang kompeten hampir tidak ada. 

Hampir kesemuanya berat sebelah dan hanya mahu berdakwah – yakni sebelah pihak, bukan mahu bertukar-tukar fikiran antara perbezaan kepercayaan.

Masyarakat kita selama ini lebih gemar dengan cara membuli, mendominasi dan doktrin, berbanding cuba mendengar pandangan-pandangan dan fahaman-fahaman berbeza. 

Mereka selama ini beranggapan bahawa Tuhan dan kebenaran itu berdiri di sebelah mereka.

Perbezaan bukan penghinaan

Hal yang sama juga harus ditanggapi pada hal perbezaan dalam keyakinan. 

Misalnya jika seorang Ahmadiyah mempunyai kepercayaan berbeza dengan majoriti fahaman Islam arus perdana, bagaimana sebagai sebuah masyarakat yang matang menanggapinya? Perbezaan atau penghinaan?

Seorang Syiah aliran Imam 12 mahu bersembahyang di sebuah masjid dengan membawa batunya, adakah itu perbezaan atau penghinaan? 

Masyarakat kita, yang selama ini tertutup, cepat gempar dan gusar jika melihat masyarakat Muslim yang berbeza. 

Orang Islam Malaysia hari ini yang gemar mengangkat Hamka, adakah tahu bahawa adik Hamka dan adik Agoes Salim (Sarekat Islam) sendiri adalah seorang Kristian?

Adik Hamka, Willy Amrull

Jika hal yang sama berlaku pada seorang ulama besar di Malaysia, bagaimanakah hal itu akan disikapi? 

Jika seseorang itu berbeza keyakinan dengan kita, adakah itu penghinaan?

Masalah satu aliran kebenaran

Biasanya Muktazilah dianggap sesat dalam pemahaman Islam arus perdana. Di mana-mana Muktazilah dicela. Hatta allahyarham Nik Aziz Nik Mat juga pernah mencela Muktazilah. 

Sedangkan Muktazilah memberikan bukan sedikit sumbangan kepada khazanah pemikiran Islam. Dan tanpa Muktazilah, tidak wujud Asyairah. 

Di Malaysia bukan sahaja Richard Dawkins yang tidak akan dijemput sampai hari kiamat, bahkan sosok Muslim yang berbeza fikiran juga tidak akan dibenarkan. 

Buku Irsyad Manji terjemahan ke dalam Bahasa Melayu terbitan ZI Publications juga pernah diharamkan. 

Irsyad Manji

Pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL), iaitu Ulil Abshar Abdalla juga dilarang masuk ke Malaysia. 

Buku-buku Faisal Tehrani juga bukan sedikit yang diharamkan. 

Kassim Ahmad, seorang penulis kritis dan kontroversi juga diharamkan buku dan pemikirannya dan diganggu hingga hari kematian. 

Jadi bukan isu Amira sahaja yang menjadi permasalahan atau ancaman, tetapi sekian banyak persoalan ilmiah tidak terjawab, sebaliknya disenyapkan dengan pengharaman.

Sememangnya proses kelahiran mana-mana agama dan kepercayaan, bahkan ketidakpercayaan, lahir kerana protes, kritis, tragedi, perang, bahkan melalui penghinaan. 

Kelahiran Buddhisme kerana kritik pada Hinduism. Yahudi menuduh Kristian menyeleweng. Islam pula menuduh Yahudi dan Kristian menyeleweng. Semua ini dipaparkan dalam teks agama masing-masing. 

Termasuk juga kisah Nabi Ibrahim mengapak berhala di rumah ibadat kaumnya. Berhala-berhala di Mekah yang menjadi sembahan kaum pagan juga dijatuhkan oleh Nabi Muhammad. 

Dalam erti kata lain, sejarah agama bukan bermula dengan keharmonian. Tetapi itu dulu.

Untuk hidup secara harmoni pada hari ini, tafsiran-tafsiran yang membawa kepada perpecahan haruslah dielakkan sama sekali. 

Ustaz, ustazah tidak kompeten

Tetapi di masjid-masjid, surau-surau bahkan di mimbar-mimbar Jumaat, kita hampir sukar menghidu dan menghirup suasana dan aroma yang harmoni.

Sindiran, cercaan dan penghinaan di sana sini, berkesiuran di tempat-tempat yang dikatakan sebagai taman-taman syurga. 

Hina-menghina adalah amalan biasa di kebanyakan masjid kita. Termasuk menjatuhkan sesama Ahli Sunnah wal Jamaah. Ustaz A menuduh ustaz B. Ustaz B menuduh ustaz C dan seterusnya.

Ustaz dan ustazah kita yang malas membaca selama ini dan hanya membaca bacaan mereka sahaja ialah agen-agen yang membuat masyarakat makin tertutup dan tidak boleh menerima apa sahaja perbezaan. 

Sedangkan perbezaan fikiran dan keimanan itu adalah suatu yang lumrah. Perbezaan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. 

Akhirnya, kita setuju apa yang dilakukan oleh Amira itu tidak beretika dan tidak punyai estetika. 

Tetapi terdapat banyak tulisan, kritikan, hujahan yang dibalut dengan etika dan estetika melalui buku, debat, persoalan dan perbahasan termasuk tulisan-tulisan di sosial media tidak dijawab dengan baik, dengan disekat, dilarang dan diharamkan. 

Hal ini yang menyebabkan orang menganggap agama atau aliran Islam Ahli Sunnah wal Jamaah membantutkan akal fikiran, sedangkan hakikatnya tidak begitu.


BENZ ALI seorang penulis buku, penyajak jalanan, penerbit buku kecil-kecilan dan penggiat komuniti Kuliah Buku – Kubu.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.