Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | RUU antilompat parti diharap pulihkan kepercayaan rakyat

ULASAN | Rang undang-undang antilompat parti telah pun diluluskan di Parlimen semalam, 28 Julai 2022. Ia merupakan suatu perkembangan yang sangat baik yang bakal dirakam dalam sejarah demokrasi Malaysia.

Ia suatu usaha mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi kita lebih-lebih lagi selepas peristiwa pembelotan kuasa menerusi Langkah Sheraton.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, rakyat telah memilih wakilnya dengan penuh harapan yang tinggi. Rakyat beri keyakinan agar suara mereka benar-benar dapat diwakili serta diangkat.

Wakil-wakil rakyat sepatutnya berperanan merangka dasar yang baik di Dewan menerusi perbahasan-perbahasan yang matang. Mereka perlu mengangkat suara rakyat.

Namun ia berakhir dengan drama-drama lompat parti demi kepentingan sendiri dan habuan peribadi.

Akta antilompat parti yang diluluskan boleh menjadi 'pagar' supaya wakil rakyat tidak hilang fokus terhadap tanggungjawab mereka yang sebenar.

Apa yang mereka janjikan, apa yang mereka iltizam untuk perjuangkan sepanjang kempen pilihan raya mestilah ditunaikan. Tindakan lompat parti setelah menang pilihan raya ibarat mempermainkan undi rakyat yang benar-benar mengharapkan khidmat terbaik oleh wakil yang telah dipilih.

Tahniah buat 209 ahli parlimen yang telah menyokong untuk meluluskan akta antilompat parti ini. Ia suatu titik bersejarah buat Malaysia. Dengan lulusnya akta ini, ia sebenarnya mengukuhkan sistem serta tiang-tiang seri yang akan bertindak sebagai 'safeguard' kepada demokrasi di negara kita.

Walau bagaimanapun, masih banyak perkara perlu terus diperjuangkan supaya akta antilompat parti ini menjadi lebih sempurna dan demokrasi kita berfungsi lebih baik.

Antaranya amalan sogokan, mengumpan ahli-ahli politik dengan wang serta kedudukan, rasuah politik dan yang sewaktu dengannya. Hal ini mesti terus diperjuangkan.

Selain itu, layanan lebih adil dan saksama antara ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang juga mesti direalisasikan. Peruntukan adil bagi khidmat rakyat di kawasan, perwujudan jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas di parlimen, penglibatan wakil rakyat rentas partisan dalam pembikinan polisi serta dasar mesti diperkukuhkan.

Orang politik datang dan pergi. Isu-isu politik juga datang dan pergi. Pengukuhan sistem demokrasi merupakan langkah penting untuk memastikan Malaysia dan rakyatnya terus berada atas landasan yang betul. Tahniah serta syukur atas kelahiran Akta Anti Lompat di Malaysia.

Perjuangan masih belum selesai. Demokrasi mesti terus kita rebut.



SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI merupakan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP dan Naib Pengerusi DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.