Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Penahanan 28 hari amat lama' - MIC serah memo berkaitan Sosma pada Suhakam

MIC menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagi menggesa penilaian semula terhadap beberapa peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (Langkah-langkah Khas) (Sosma), semalam.

Ia termasuk berhubung penahanan tanpa bicara selama 28 hari bagi individu yang ditahan di bawah akta itu.

Penyerahan memorandum dibuat dua hari selepas Dewan Rakyat meluluskan usul pelanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) - berhubung kuasa polis untuk membuat penahanan selama 28 hari - selama lima tahun lagi.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam Ragunath Kesavan itu, Pasukan Petugas Hak Asasi Manusia MIC berkata ia perlu dibuat memandangkan beberapa peruntukan dalam akta tersebut tidak relevan dan berisiko disalahgunakan.

"Hari ini kami menyerahkan memorandum ini selepas maklum balas yang kami terima daripada ahli keluarga kepada 28 individu yang ditahan di bawah akta itu dan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.

"Kami tidak bercanggah dengan pendirian BN di Parlimen (yang menyokong Sosma). Kami hanya meminta sebahagian kandungan akta dikaji semula," kata pengerusinya David Gurupatham.

Menurut laporan, kesemua 28 individu itu didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu pada 19 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Pasukan Petugas Hak Asasi Manusia MIC menyifatkan tempoh penahanan selama 28 hari adalah terlalu lama dan perlu dikurangkan.

Selain itu, mereka turut berkata ahli keluarga juga perlu dimaklumkan mengenai tempat suspek ditahan.

Lebih 100 individu terdiri daripada ahli MIC dan ahli keluarga suspek berkumpul di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum tersebut.