Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dr M: Mansuh sekolah vernakular tak bantu mantapkan sistem pendidikan negara

Pemansuhan sekolah vernakular semata-mata tidak akan dapat mengangkat sistem pendidikan sekolah kebangsaan, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir berkata, apa yang penting adalah sistem pendidikan di sekolah kebangsaan ditambah baik seiring perkembangan teknologi.

"Kalau mereka tutup (sekolah vernakular), tidak bermakna mereka sudah kalah dengan kita (sistem pendidikan kebangsaan).

"Yang akan memenangkan kita apabila kita menambah baik sistem pendidikan kita mengikut perkembangan semasa. Sekolah (jenis kebangsaan) Cina mereka ada sistem mereka.

"Sistem pendidikan kita tidak ambil manfaat perkembangan teknologi," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada sidang media Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di Seri Kembangan, Kuala Lumpur, hari ini.

Mahathir berkata, sistem pengajaran guru-guru di sekolah perlu diubah mengikut perkembangan teknologi semasa dan ini gagal dilaksanakan kementerian hari ini.

Katanya lagi, sekolah wawasan seharusnya menjadi agenda penting sekiranya ingin menggantikan sekolah vernakular yang ada hari ini.

Idea Sekolah Wawasan pernah dicetuskan Mahathir iaitu dengan menggabungkan sekolah kebangsaan dan sekolah vernakular di bawah satu kompleks yang sama.

Konsep sekolah itu bagaimanapun ditentang sesetengah pihak, antaranya Dong Jiao Zong yang dilaporkan bimbang ia akan mengancam pembangunan SJKC.