Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suka merantau, tak minat di ladang punca anak Kelantan keluar

Kerajaan Kelantan melihat sikap rakyat negeri itu sendiri menjadi punca ramai daripada mereka mencari rezeki di luar walaupun peluang pekerjaan banyak di tempat asal mereka.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah berpendapat antara sikap anak-anak negeri itu ialah suka merantau kerana mereka kurang berminat terus berada di negeri terbabit.

"Kurang minat dalam kalangan anak-anak Kelantan untuk bekerja di Kelantan - itu yang saya tengok.

"Bukan mereka tidak tahu ada peluang pekerjaan tetapi mungkin sikap anak Kelantan ini tidak suka berada dalam negeri, dia suka merantau," katanya.

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata masalah sebenar ialah sikap dan usaha mahu menggalakkan mereka untuk terus berada di Kelantan dan bekerja di negeri sendiri.

Adun Panchor itu berkata demikian ketika tampil sebagai paneli majlis Makan Malam: Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan 2022 di Kota Bharu, malam tadi.

Terdahulu dia ditanya sama ada kerajaan negeri akan mewujudkan platform tertentu atau tidak supaya majikan dapat menghebahkan maklumat peluang pekerjaan di negeri itu.

Mungulas lanjut Mohd Amar berkata, dia sendiri tidak pasti sama ada maklumat mengenai peluang pekerjaan itu sampai atau tidak sampai kepada rakyat.

Bagaimanapun dengan memberi contoh, dia dimaklumkan oleh pihak syarikat perladangan yang menyatakan banyak peluang pekerjaan tersedia tetapi tetap tidak menjadi pilihan anak tempatan.

"Misalnya dalam bidang perladangan banyak peluang kerja, tapi saya dimaklumkan oleh syarikat-syarikat kelapa sawit menyatakan rakyat tempat tidak berminat.

"Walaupun gajinya agak tinggi, tetapi mereka tak minat bekerja di ladang kelapa sawit. Jadi sebab itu kita terpaksa ambil pekerja-pekerja dari Indonesia atau negera lain," jelasnya.

Tambah Mohd Amar, kerajaan Kelantan akan melihat sekiranya boleh diwujudkan platform untuk memberi maklumat kepada anak Kelantan mengenai peluang-peluang pekerjaan bagi menarik minat mereka.