Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

LTAT setuju bincang dengan kesatuan isu tunggakan pelarasan gaji

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berkata pengurusannya bersetuju untuk memulakan perbincangan susulan piket oleh Kesatuan Kakitangan LTAT (KKLTAT) bagi mendesak agar tunggakan pelarasan gaji mereka dibayar.

Dalam satu kenyataan hari ini, LTAT berkata pihaknya akan memulakan perbincangan bersama wakil daripada KKLTAT, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

"Pengurusan LTAT telah menyatakan kesediaannya untuk memberi penerangan yang sewajarnya dan menjalankan perbincangan bersama wakil-wakil daripada Cuepacs, MTUC

dan KKLTAT pada keesokan hari bagi mencari hala tuju penyelesaian kepada perkara ini," kata LTAT.

LTAT berkata CEO Nazim Rahman dan pengurusan kanan lembaga itu telah turun bertemu dengan Presiden Cuepacs Adnan Mat, Presiden MTUC Effendy Abdul Ghani dan Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor ketika piket hari ini.

"Aktiviti piket yang sedang berjalan telah diberhentikan bagi memberi ruang kepada pengurusan LTAT untuk duduk bersama dengan pihak yang berkepentingan," kata LTAT lagi.

Sejak semalam lebih 100 kakitangan LTAT mengadakan piket di luar bangunan LTAT di Kuala Lumpur.

Mereka antara lain mendakwa pihak pengurusan enggan membayar tunggakan pelarasan gaji melalui semakan semula skim gaji dan skim perkhidmatan yang berkuat kuasa sejak dua tahun lalu.

Terdahulu, Presiden KKLTAT Zulharith Shahrizzan Kumar Abdullah berkata pihak mereka akan terus berpiket setiap hari sehingga Jumaat ini.