'Saya terharu Pemangku Raja Pahang mohon maaf'
Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar berkata dia terharu dengan permohonan maaf oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berhubung kelewatan tiba di sebuah program.
"Saya terharu dengan kemurahan hati beliau untuk meminta maaf dan saya pun tak nak panjangkan lagi isu ini," katanya.
Dia berkata demikian ketika dihubungi Malaysiakini bagi mengulas mengenai permohonan maaf Tengku Hassanal melalui Instastory.
Tengku Hassanal menjelaskan kelewatan baginda tiba ke Program Pemulihan Ekosistem Zon Penampan di Pantai Chendor, dekat Cherating, pada 18 Julai lalu.
Noor Jehan berkata, dia juga ingin tumpukan kerjanya berhubung alam sekitar.
"Lagi pun, saya bukanlah siapa-siapa, jadi bila PRP (Pemangku Raja Pahang) minta maaf begitu, saya pun nak 'move on' sajalah.
"Saya lebih suka untuk terus fokus kerja alam sekitar saya," katanya lagi.
Semalam, Noor Jehan dirakam keterangan kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, susulan ciapan dibuat melalui akaun Twitter miliknya pada 18 Julai lalu.
Dia memaklumkan, siasatan terhadapnya dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Siasatan itu dilakukan berdasarkan ciapan dibuatnya mempersoalkan kelewatan tetamu kehormat hadir pada majlis anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama kerajaan negeri.
Program itu dirasmikan Tengku Hassanal dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, usaha mendapatkan komen Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu mengenai status siasatan dijalankan terhadap Noor Jehan tidak berjaya dan sehingga berita ini ditulis, dia belum memberikan sebarang jawapan.
Untuk rekod, Hantaran Instastory Tengku Hassanal pagi tadi turut meminta pihak polis untuk menghentikan siasatan ke atas Noor Jehan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai