Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Aktivis: Masyarakat Penan sekat aktiviti pembalakan Samling

Masyarakat Penan sekali lagi membina sekatan jalan dalam usaha menghalang pembalakan oleh syarikat balak Samling di Batu Siman, Sarawak.

Batu Siman terletak di Kawasan Hutan Baram Atas (UBFA), sebuah inisiatif pemuliharaan yang disokong kerajaan.

Dalam satu kenyataan bersama, Bruno Manser Fonds, The Borneo Project, dan organisasi Penan Keruan berkata masyarakat tempatan memfailkan laporan polis pada 9 Julai lalu terhadap dakwaan pencerobohan oleh Samling.

Mereka berkata kakitangan syarikat itu meninggalkan kawasan tersebut kira-kira seminggu kemudian.

Kenyataan itu turut memetik tiga ketua dari kampung masyarakat Penan Long Ajeng, Long Lamam, dan Long Murung yang berkata, masyarakat Penan amat berbangga apabila Samling berhenti memusnahkan hutan di sekitar zon teras UBFA."

“Kami berharap pembalak tidak lagi menceroboh mana-mana kawasan daripada 18 komuniti Penan di bawah UBFA.

"Selagi syarikat menghormati hak kami, tidak akan ada konflik. Terima kasih kepada semua yang mengambil berat tentang nasib kami, yang telah membangkitkan kebimbangan kami, dan melobi di peringkat tempatan dan antarabangsa untuk hak kami," kata mereka.

Menurut kenyataan itu, penduduk di tiga kampung itu membuat sekatan di dua jalan balak Samling pada 16 Julai lalu iaitu jalan menuju ke kawasan pemuliharaan dan jalan menuju ke zon penggunaan komuniti UBFA.

Berbeza dengan sekatan sebelum ini yangv lebih ringkas, kali ini penduduk kampung membina binaan kekal dalam bentuk rumah sekatan.

"Kaum Penan memutuskan untuk membina pondok sekatan di seberang jalan dan bukannya penghadang ringkas untuk menandakan keazaman mereka untuk menghentikan pengeluaran kayu secara kekal," kata kenyataan itu.

Ketua Keruan Komeok Joe berkata, pihaknya sangat berharap Samling meninggalkan kawasan itu untuk selama-lamanya.

"Kaum Penan amat komited untuk melaksanakan UBFA bersama-sama kerajaan Sarawak.

"Kami tidak sabar untuk bersama-sama melindungi hutan kami," katanya.