Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Pahang disiasat isu ciapan di Twitter

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang Noor Jehan Abu Bakar dirakam keterangan kira-kira sejam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang, hari ini.

Dia dipanggil bagi memberi keterangan kepada pegawai polis sekitar jam 3 petang tadi, dipercayai dilakukan susulan laporan polis terhadap Noor Jehan berhububg ciapan Twitter miliknya pada 18 Julai lalu.

Proses itu selesai kira-kira jam 4.15 petang tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini, dia memberitahu terdapat lebih satu laporan polis diterima polis Kuantan terhadapnya.

"Saya difahamkan ada lebih dari satu (laporan polis) dan saya nampak satu daripadanya (dibuat) di Jaya Gading, Kuantan.

"Untuk proses rakaman keterangan hari ini, saya ditemani wakil dari Majlis Peguam Pahang, Hon Kai Peng.

"Mereka cuma tanya soalan mengenai tweet yang saya buat dan komen yang saya terima selepas tweet itu dibuat," katanya.

Noor Jehan memaklumkan pihak polis tidak merampas telefon bimbitnya.

"Saya diberitahu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia," katanya lagi.

Dia tidak menolak kemungkinan siasatan itu dijalankan berdasarkan ciapan dibuatnya mempersoalkan kelewatan tetamu kehormat hadir pada majlis anjuran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama kerajaan negeri di Pantai Chendor, dekat Cherating, Isnin lalu.

Program itu dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.

Terdahulu, dalam satu kenyataan media dikeluarkan Parti Aspirasi Sains Malaysia (Sains) tengahari tadi turut menyatakan solidariti terhadap Noor Jehan.

Sains menganggap Noor Jehan yang juga ahli badan eksekutif pusat parti itu tidak melakukan apa-apa kesalahan melalui bebenang ciapan (thread) itu dan menggesa pihak berkuasa menghentikan intimidasi terhadap rakyat yang hanya menyatakan pandangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohamad Zahari Wan Busu ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya menerima dua laporan polis terhadap Noor Jehan.

Dia juga mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komuniti dan Multimedia 1998.