Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Belum ada keperluan masukkan senator dalam RUU antilompat parti'

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata belum ada keperluan untuk senator turut tertakluk di bawah undang-undang antilompat parti.

Wan Junaidi berkata, meskipun terdapat permintaan daripada ahli-ahli parlimen berhubung perkara itu, ia akan diputuskan oleh jawatankuasa pilihan khas yang mengendalikan rang undang-undang (RUU) tersebut.

Jelasnya, walaupun mesyuarat jawatankuasa ada membincangkan perkara itu, setakat ini RUU antilompat parti masih bertumpu kepada ahli-ahli parlimen.

“Kita ada jawatankuasa yang membuat keputusan selepas perbincangan dua, tiga kali. Kita sudah ada lima mesyuarat jawatankuasa itu (di mana) setiap kali mesyuarat (ia berjalan) tak kurang dua setengah jam hingga tiga setengah jam.

"Kalau ada keperluan pada masa akan datang, kerajaan akan buat keputusan sama ada senator akan termasuk atau tidak, contohnya senator yang dilantik oleh parti yang bertanding di peringkat negeri juga wakil parti (yang melantiknya). Jadi memang kita (jawatankuasa) fikir juga perkara itu,” katanya.

Dia berkata demikian ketika sidang media di Parlimen hari ini berhubung pembentangan RUU tersebut pada persidangan Parlimen bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos ini.

Pewartaannya pula dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September ini jika mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Wan Junaidi, bagi peringkat DUN, pindaan dan penguatkuasaan RUU tersebut hanya akan dibuat selepas Yang di-Pertuan Agung mengadakan sesi libat urus bersama sultan dan Yang di-Pertua Negeri (TYT) di setiap negeri.

“Apabila dipersetujui oleh sultan atau TYT di negeri tersebut, barulah undang-undang ini boleh diperkenalkan di peringkat negeri,” katanya lagi.

Akta itu sepatutnya dibentang semasa mesyuarat persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini. Tarikh akhir RUU tersebut adalah pada 24 Mac.

Selepas diwartakan nanti, ahli parlimen akan kehilangan kerusinya jika mereka keluar parti atau tidak lagi menjadi ahli.

Namun, ahli parlimen yang dibuang parti tidak akan hilang kerusi. Ahli parlimen juga tidak akan hilang kerusi jika parti mereka dibubarkan atau bergabung dengan parti lain, atau jika mereka keluar parti untuk menjadi speaker Dewan Rakyat.

Sejak pilihan raya umum 2018, lebih daripada 30 ahli parlimen yang melompat parti.