Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

RUU antilompat parti dijangka 'selesai' petang Khamis ini

Undang-undang berhubung antilompat parti akan dibentang pada 27 Julai ini dan jika tiada halangan, akan digulung sehari kemudian, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya berkata rang undang-undang (RUU) berhubung peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti itu juga telah menjalani banyak sesi libat urus sejak Jan lepas, sekali gus lazim diketahui dalam kalangan anggota Dewan Rakyat.

Tambah Wan Junaidi, corak bagi RUU itu juga berlainan jika dibandingkan dengan undang-undang sedia ada berikutan ia dibuat jawatankuasa pilihan khas dan dicetak oleh pihak parlimen, dan bukannya dari kamar Jabatan Peguam Negara.

“Jadi saya nak jelaskan di situ, prosedur RUU itu sendiri, semua ahli parlimen sudah tahu. Insya-Allah, pada 27 ia akan dibahas dan pada 28 petang, jam 2.30, insya-Allah saya akan menggulungnya.

“Kalau tiada halangan, ahli parlimen setuju (dengan RUU itu), kita akan dapat menamatkan dan menyelesaikan perkara itu sebelum pukul 5.30 petang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis anugerah Lang International Corporate Titan Awards (LICTA) 2021 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Terdahulu dia memaklumkan, libat urus Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahli Dewan Rakyat kerajaan akan diadakan pada 25 Julai, manakala sesi bersama Ahli Dewan Rakyat pembangkang pada keesokan harinya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai akta berhubung kebankrapan, Wan Junaidi berkata kerajaan sedang mengkaji mekanisme mengikut model negara lain untuk menangani masalah muflis dengan berkesan.

Katanya, walaupun kerajaan sudah meningkatkan nilai ambang dari RM50,000 ke RM100,000 pada 2020, namun dia berpendapat meningkatkan nilai ambang baru kepada jumlah yang lebih tinggi bukan penyelesaian yang baik, khususnya dengan kesan susulan impak Covid-19.

“Walaupun ia (peningkatan nilai ambang) boleh bertahan buat sementara tetapi kita perlu mencari mekanisme terbaik mengikut model negara lain... dan kajian sudah dibuat, saya tidak boleh berjanji bila satu-satu pindaan boleh dibuat menerusi libat urus dengan semua pihak, Bank Negara Malaysia (BNM), persatuan bank dan sebagainya.

“Kita mesti ingat satu perkara yang penting, kita sedang bergerak ke arah negara usahawan menjelang 2030, kalau ramai sangat terbabit dengan muflis ini, anak belia kita lari daripada berusaha, akan membantutkan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai negara peniaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi memaklumkan undang-undang berhubung muflis itu diwujudkan pada zaman British dan belum pernah diubah secara menyeluruh.

- Bernama