Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tiada asas sistem kesan pelarian tanpa pengiktirafan sah - Aktivis

Kumpulan hak pelarian dan peguam hak asasi manusia menolak penggunaan Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian (TRIS) yang diluluskan kerajaan terhadap semua pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam kalangan pelarian (UNHCR) di negara ini.

Mereka khususnya membangkitkan dua isu utama yang dipertikaikan berhubung pendirian Malaysia untuk tidak mengiktiraf status pelarian secara rasmi serta laporan mengenai penglibatan syarikat swasta dalam menguruskan sistem berkenaan.

Peguam hak asasi manusia, Charles Hector Fernandez berkata kerajaan perlu mengambil langkah bagi mengiktiraf status pelarian secara sah terlebih dahulu, yang merupakan pemegang kad UNHCR.

“Tanpa pengiktirafan itu, apakah asas undang-undang bagi sistem pengesanan kerajaan?

"Undang-undang mana yang membenarkan pengesanan dan pemantauan pelarian dan pencari suaka? Justeru, boleh dikatakan sistem pengesanan itu adalah tidak sah," kata Fernandez kepada Malaysiakini.

“Lebih teruk, pelantikan syarikat swasta untuk melakukannya. Keabsahan undang-undang sekali lagi dipersoalkan.

"Malah bajet dan perbelanjaan kerajaan atas dasar apa apabila Malaysia tidak mengiktiraf pelarian dan pencari suaka secara sah?" kata Fernandez.

Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata pemegang kad UNHCR di negara ini mesti mendaftar dengan TRIS untuk mengenal pasti keberadaan pelarian dan pelaporan kepada negara.

Dia juga berkata pelaksanaan bagi menjalankan TRIS diberikan kepada sebuah syarikat yang antara lain bertujuan untuk memastikan segala data pelarian khususnya mengenai lokaliti penempatan mereka diketahui.

Fernandez, bagaimanapun, menyatakan kebimbangan mengenai data yang mungkin bocor dan mendedahkan pelarian atau pencari suaka kepada ancaman luar.

“Ingat kita bercakap tentang pelarian dan pencari suaka, dan mereka berisiko besar untuk dicari dan disasarkan oleh negara di mana mereka melarikan diri.

"Data mereka berisiko dibocorkan dan ini mungkin meletakkan mereka dalam bahaya yang serius. Golongan ini tidak boleh dilayan sama seperti pendatang atau penduduk tempatan lain," katanya.

Berbanding meibatkan pihak ketiga, Pengerusi bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Migran, Pelarian dan Imigresen Majlis Peguam, M Ramachelvam berkata sebarang proses dokumentasi hanya perlu melibatkan kerjasama antara kerajaan dan UNHCR, berdasarkan proses pengesahan sedia ada.

“Proses pendokumentasian itu tidak seharusnya disalurkan kepada syarikat swasta yang menjalankan proses itu dengan bayaran berjumlah RM500 seorang," kata Ramachelvam, memetik angka yang disebut oleh Hamzah.

UNHCR menganggarkan Malaysia menjadi lokasi kepada kira-kira 181,000 pelarian dan pencari suaka, yang majoritinya berasal dari Myanmar, termasuk kira-kira 103,000 etnik Rohingya.

'TRIS ada banyak masalah'

Turut menyatakan kebimbangan yang sama ialah pengarah eksekutif Asylum Access Malaysia, Tham Hui Ying yang mengatakan TRIS telah beroperasi sejak 2017 untuk mengeluarkan Kad Pengenalan Khas (MyRC).

"Secara khusus, kebanyakan pelarian yang sudah bergelut dengan kos sara hidup dijangka membayar RM500 untuk kad MyRC yang dikeluarkan di bawah skim ini yang perlu diperbaharui setiap tahun pada kos yang sama walaupun kad itu tidak menawarkan perlindungan tambahan," kata Tham kepada Malaysiakini.

“Terdapat laporan mengenai mereka yang mempunyai kad MyRC masih ditangkap dan ditahan dan ia tidak diiktiraf secara konsisten oleh pelbagai pihak berkuasa.

"Kita perlu tahu bagaimana dan sama ada isu-isu ini telah ditangani untuk memastikan sistem ini tidak akan menyebabkan lebih banyak kesukaran kepada komuniti pelarian," katanya.

Tham berkata butiran lanjut perlu didedahkan mengenai pengembangan fungsi TRIS, termasuk kos yang akan dikenakan dan perlindungan yang akan diberikan kepada mereka yang mendaftar di bawah sistem itu.

"Juga perlu ada lebih ketelusan terhadap syarikat ini yang akan menguruskan data dan bagaimana data itu selamat," tambahnya.

Berdasarkan bahagian Soalan Lazim dalam laman web rasmi TRIS, skim pendaftaran itu merupakan inisiatif kerajaan dalam mengumpul maklumat peribadi dan maklumat biometrik pemegang kad UNHCR, untuk dimasukkan ke dalam pangkalan data nasional yang bertujuan menambah baik dan mengurus pelarian di Malaysia.

[Baca berita penuh]