PH perlu kurangkan pertelagahan terbuka, kata Khalid
Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad menyeru pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk bersatu dan berhenti terlibat dalam sebarang pertelagahan terbuka yang hanya bertujuan untuk saling merugikan diri sendiri.
Bercakap pada perhimpunan PH semalam, pengarah komunikasi Amanah itu mengingatkan rakan-rakannya dalam gabungan berkenaan supaya menyatukan kekuatan untuk berdepan musuh mereka.
"Sebarang salah faham dan perbezaan pendapat perlu dibincangkan melalui Majlis Presiden PH.
"Kita perlu berhenti tembak diri sendiri (sebaliknya) tunjukkan kepada orang ramai keupayaan kita untuk menang pada PRU (pilihan raya umum) akan datang," katanya.
Khalid turut menyatakan rasa kesalnya kerana beberapa perbezaan pendapat dan perbalahan antara pemimpin PH dipaparkan secara terbuka ketika ia sepatutnya boleh diselesaikan secara dalaman.
"Sudah tiba masanya untuk PH membincangkan strategi bagaimana untuk memenangi PRU akan datang. Kita juga harus tumpukan serangan kepada BN dan PN (Perikatan Nasional).
"Zahirkan kesatuan dan keyakinan kita untuk memerintah dengan lebih cemerlang daripada BN dan PN, insya-Allah ," kata Khalid.
Sebagai rekod PH adalah gabungan yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pusat serta sebahagian besar negeri dalam Malaysia sebelum Langkah Sheraton menyebabkan ia tumbang.
Di sebalik tindakan sesetengah pemimpin politik dan wakil rakyat di luar pilihan raya, PH masih menjadi kerajaan di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
PH bagaimanapun merekodkan prestasi merosot dalam pilihan raya negeri di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor dan dijangka mencatat prestasi buruk dalam pilihan raya umum akan datang.
Ketegangan antara parti dan dalaman parti PH sendiri telah menjadi sebahagian daripada penurunan persepsi bahawa gabungan terbabit boleh mengulangi pencapaian mereka dalam PRU 2018.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai