Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hampir RM1 juta dibelanjakan untuk lawatan rasmi 4 utusan khas PM

Hampir RM1 juta dibelanjakan untuk utusan khas perdana menteri antara Januari 2020 hingga Jun 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Fungsi Khas) Abdul Latiff Ahmad berkata perbelanjaan itu termasuk lawatan rasmi ke luar negara bagi setiap utusan khas berkenaan.

“Bagi tempoh Januari 2020 hingga Jun 2022, sebanyak RM923,455.10 telah dibelanjakan bagi tujuan lawatan rasmi dalam dan luar negara keempat-empat utusan khas perdana menteri, di samping dalam melaksanakan fungsi tugas dan komitmen yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dia berkata demikian dalam jawapan bertulis parlimen pada Khamis lalu bagi menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu).

Chan meminta perdana menteri menyatakan kerja-kerja yang telah dilakukan oleh setiap duta khas perdana menteri serta perbelanjaan mereka sejak 2020.

Pada masa ini, empat utusan bertaraf menteri itu ialah Presiden PAS Abdul Hadi Awang (Timur Tengah), Presiden Parti Demokratik Progresif, Tiong King Sing (China), Ahli Parlimen Serian, Richard Riot (Asia Timur) dan Presiden MIC, S Vigneswaran (Asia Selatan).

Utusan khas biasanya merupakan individu yang dilantik oleh perdana menteri dengan tujuan mengeratkan hubungan antara Malaysia dan mana-mana negara atau wilayah tertentu di mana utusan itu dihantar.