Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DAP gesa tubuh dana penstabilan harga untuk lawan inflasi

DAP mengulangi gesaan agar kerajaan mewujudkan dana penstabilan harga bagi menghadkan inflasi dan kenaikan harga makanan dan komoditi.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata tanpa dana penstabilan harga, pengukuhan ringgit, menyelesaikan kekurangan pekerja yang teruk dan tidak lagi merangka dasar yang berubah-ubah, kos sara hidup akan terus meningkat.

Dalam kenyataan media hari ini, Lim menyuarakan kekesalannya apabila kerajaan enggan mewujudkan dana penstabilan harga berjumlah RM5 bilion, seperti yang dinyatakan dalam jawapan parlimen kementerian kewangan kepadanya.

"Sebaliknya, RM1 bilion disediakan kepada penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam dan telur pada harga kawalan sehingga Ogos 2022. Sungguhpun begitu, kekurangan bekalan masih dijangka akan berlaku kerana ayam dan telur masih dijual di bawah kos.

"Ini berikutan peningkatan input pengeluaran makanan global seperti jagung (14.8 peratus), gandum (60.9 peratus) dan kacang soya (19.9 peratus), yang merupakan komposisi terbesar dalam penyediaan bahan makanan ayam yang telah menyebabkan harga ayam meningkat sebanyak 17.2 peratus. Harga daging babi juga meningkat sebanyak 14.6 peratus pada bulan Jun berbanding 10.2 peratus pada bulan sebelumnya.

"Kerajaan terus menafikan sebarang tanggungjawab dengan menyalahkan kenaikan harga makanan disebabkan peningkatan input pengeluaran makanan akibat perang di Ukraine, kekurangan bekalan, gangguan dalam rantaian bekalan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan Covid-19 di China dan kos logistik yang tinggi.

"Bagaimanapun, tidak disebut berkenaan kesan negatif daripada kejatuhan nilai ringgit dan kekurangan buruh yang teruk dalam meningkatkan kadar inflasi," katanya.

Semalam Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia dilaporkan meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.4 pada Jun 2022 berbanding 123.2 pada Jun 2021, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 sebanyak 1.9 peratus.

https://m.malaysiakini.com/news/629249

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Mohd Uzir Mahidin berkata indeks makanan meningkat 6.1 peratus dan kekal sebagai penyumbang utama kenaikan inflasi pada Jun lalu.

Sementara itu Lim mendakwa data itu tidak menggambarkan keadaan sebenar disebabkan penetapan harga terkawal bagi barangan keperluan tertentu.

Dia menegaskan kejatuhan ringgit hanya menambah kos import kepada perniagaan manakala kekurangan buruh yang teruk menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

"Penurunan nilai ringgit berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara iaitu Amerika Syarikat (AS) dan Singapura hanya akan menyebabkan inflasi meningkat.

"Petunjuk betapa teruknya keadaan semasa boleh dilihat dengan harga lima kilogram minyak masak pada RM19 semasa pentadbiran PH tetapi kini dijual pada harga lebih RM45.

"Kerajaan telah cuba membayangkan bahawa walaupun kadar inflasi telah meningkat kepada 3.4 peratus pada Jun, ia masih lebih rendah berbanding dengan 5.6 peratus di Singapura. Perbandingan sedemikian tidak bermakna apabila pariti kuasa membeli (PPP) per kapita Singapura hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia," katanya.

Sebelum ini ringgit dilaporkan jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun pada 19 Julai lalu, menjadikan nilainya paling lemah berbanding dolar AS sejak Mac 2017.