Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

KATA MP | Kenapa pengerusi Cuepacs 'sentap' isu komposisi etnik perkhidmatan awam?

KATA MP | Saya terpanggil untuk menyuarakan rasa terkilan saya setelah membaca kenyataan Pengerusi Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkenaan isu penglibatan hampir 90 peratus perkhidmatan awam didominasi oleh bumiputera (Melayu).

Lebih menghairankan saya ialah reaksinya terhadap saranan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk menjadikan perkhidmatan awam kita berwajah majmuk dengan penglibatan pelbagai kaum yang lebih seimbang dan adil, agar dapat memberi gambaran sebenar tentang keunikan kepelbagaian kaum di Malaysia selari dengan slogan Keluarga Malaysia kerajaan ketika ini.

Saya tidak faham kenapa pengerusi Cuepacs tersentap dengan saranan Teresa yang pada pendapat saya turut sama memperjuangkan kepentingan penjawat awam kita.

Sebagai seorang penjawat awam dan pengerusi Cuepacs, beliau seharusnya mengambil sikap neutral dan tidak mengeluarkan kenyataan yang membidas saranan daripada mana-mana ahli parlimen.

Respons terhadap kenyataan dan gesaan seorang ahli parlimen sepatutnya datang daripada anggota jemaah menteri memandangkan isu ini berkaitan dengan dasar dan hala tuju kerajaan.

Sebagai seorang ahli parlimen bumiputera dari Sabah, saya amat terkilan apabila mendapat laporan bahawa peratusan pegawai-pegawai tertinggi kerajaan daripada bumiputera Sabah dan Sarawak juga begitu rendah, sekitar 11 peratus sahaja. Komposisi ini jelas tidak adil dan amat menyedihkan bagi saya. 

Ini jelas memberi gambaran bahawa terdapat kepincangan dalam pengagihan jawatan-jawatan tertinggi perkhidmatan awam kita. Kerajaan perlu mengakui dan memandang serius masalah ini dan langkah-langkah yang komprehensif perlu di ambil dengan segera.

Perkhidmatan awam adalah tulang belakang kerajaan dan negara. Sektor perkhidmatan awam kita sewajarnya menerapkan dan memberikan peluang kepada setiap warga Malaysia yang berkemampuan, berkebolehan dan berbakat serta mempunyai taraf pendidikan yang sewajarnya.

Kenaikan pangkat di kalangan pegawai kerajaan kita juga haruslah berdasarkan prestasi dan pencapaian.

Jawapan daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Abd Latiff Ahmad menyebut, “engambilan dan pelantikan pegawai ke perkhidmatan awam am adalah berasaskan merit dan kompetensi seseorang calon...kerajaan tidak menerapkan sebarang kuota berdasarkan kapasiti kaum, bangsa atau etnik tertentu dalam pelantikan serta pertimbangan kenaikan pangkat penjawat awam...”

Sekiranya kenyataan menteri ini benar, saya ingin mengesa kerajaan untuk mengkaji faktor-faktor yang menyebabkan fenomena komposisi kaum yang jelas tidak seimbang di dalam perkhidmantan awam kita hari ini dan seterusnya mengambil langkah-langkah segera yang efektif dan konstruktif untuk membetulkannya.

Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Kemakmuran  kepelbagaian kaum, bangsa dan budaya ini adalah kekuatan dan tunjang yang menjadikan negara kita sebuah negara yang unik.

Oleh kerana kepelbagaian kaum di negara kita ini, saya berpendapat keseimbangan komposisi kaum di dalam perkhidmatan awam kita adalah sangat penting bagi memastikan perkhidmatan awam kita dapat memberikan perkhidmatan yang efisien kepada kepada setiap lapisan masyarakat yang terdapat di Malaysia.

Sehaluan dengan slogan Keluarga Malaysia, saya yakin dengan adanya penglibatan kaum-kaum lain yang lebih seimbang di dalam jawatan-jawatan tertinggi di dalam perkhidmatan awam akan menjurus kepada kestabilan dan kemakmuran negara kita.


NOORITA SUAL adalah ahli parlimen Tenom.

Tulisan ini diambil dari hantaran di media sosialnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.