Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Hina Islam: Undang-undang masih banyak kelemahan - PAS

PAS berpendapat masih terdapat banyak kelemahan undang-undang bagi mengekang amalan menghina Islam.

Justeru, kata presidennya Abdul Hadi Awang, Malaysia memerlukan undang-undang lebih ketat.

“Mesti satu undang-undang tegas sebab Islam dalam perlembagaan. 

“Islam adalah agama negara,” katanya yang juga anggota parlimen Marang.

Hadi berkata demikian kepada pemberita di Marang, Terengganu ketika ditanya sama ada undang-undang lebih ketat diperlukan. 

Rakaman kira-kira dua minit itu dimuat naik di media sosialnya sebentar tadi.

“Ya, memang begitu.

“Islam perlu diperkasakan,” katanya menjawab soalan berkaitan keperluan undang-undang lebih ketat.

Bulan ini muncul beberapa kes yang didakwa menghina Islam

.

Antaranya kontroversi persembahan lawak di Kuala Lumpur, kes ucapan menghina Islam melibatkan indvidu di Sepang, Selangor dan Kuala Krai, Kelantan serta kes pijak al-Quran di Johor Bahru.

Kes Siti Nuramira Abdullah (atas) telah dibawa ke mahkamah manakala penghantar makanan Mohd Nor’ Muzil Mohd Razalli pula dijatuhi hukuman denda RM50,000.

Setakat ini pihak berkuasa menggunakan peruntukan dalam Kanun Keseksaan,

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut menyiasat Nuramira bawah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutan) 1997.

Jawi bagaimanapun tidak mendakwanya memandangkan pertuduhan sudah dibuat di mahkamah sivil yang  memperuntukkan hukuman yang lebih berat.