Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Teresa tak usaha tangani 'ketidakseimbangan etnik' masa jadi menteri - Cuepacs

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengecam Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kerana didakwa mempolitikkan ketidakseimbangan etnik dalam perkhidmatan awam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Cuepacs Adnan Mat membidas Kok dengan menuduhnya tidak menambah baik perkhidmatan awam semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

"Bahkan ramai penjawat awam yang menerima tekanan, ugutan serta ditamatkan kontrak perkhidmatan.

"Malah ada rakan-rakan Kok yang mendesak kerajaan mengurangkan bilangan penjawat awam sambil menyifatkan kami semua sebagai bebanan kepada kerajaan," kata Adnan dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Kok telah menggesa kerajaan persekutuan untuk mendesak perkhidmatan awam yang lebih seimbang dari segi kaum untuk lebih mencerminkan semangat Keluarga Malaysia, slogan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini berikutan pengakuan kerajaan bahawa bumiputera membentuk hampir 90 peratus daripada perkhidmatan awam - tidak termasuk polis dan tentera.

Ini adalah lebih tinggi secara tidak seimbang daripada anggaran 69.6 peratus penduduk bumiputera yang dilaporkan oleh Banci Penduduk dan Perumahan 2020.

Kok, yang merupakan menteri kabinet semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan, mendakwa bilangan bukan bumiputera yang memohon untuk menyertai perkhidmatan awam adalah rendah kerana gaji.

Dia menambah bahawa terdapat juga persepsi meluas tentang peluang yang tidak sama rata dalam pengambilan dan kemajuan kerjaya, menyebabkan minat dalam perkhidmatan awam di kalangan bakal rekrut bukan bumiputera menjadi kurang.

Adnan berkata dakwaan Kok bahawa dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam diamalkan adalah tidak berasas.

"Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

"Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

"Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada dibarisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat," katanya.