Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Teresa kecewa status pemerdagangan manusia 'teruk' di Malaysia

Kerajaan patut memansuhkan Sistem Pembantu Rumah Dalam Talian (MOS) bagi menaikkan kedudukan Malaysia daripada status Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2022, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Sama seperti tahun sebelumnya, laporan itu menyatakan "kerajaan Malaysia tidak sepenuhnya memenuhi standard minimum bagi menamatkan pemerdagangan manusia dan tidak melakukan usaha signifikan untuk berbuat demikian".

Ini merupakan kali pertama negara gagal meningkatkan kedudukan setelah jatuh ke tempat terbawah dalam laporan itu pada 2021.

Dalam kenyataan hari ini, Teresa mendakwa MOS menjadi antara komponen yang menyebabkan Malaysia kekal dengan status Tier 3 laporan itu.

Diwujudkan pada 2018, MOS di laman web Jabatan Imigresen adalah proses pengambilan secara terus yang diharamkan di indonesia kerana mencabuli undang-undang di sana.

Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata mereka skeptik sama ada pekerja yang tidak menerusi sistem baru, iaitu Sistem Satu Saluran (OCS), mempunyai kontrak pekerjaan atau tidak.

"Duta Indonesia tegas membantah MOS di Malaysia.

"Dia berpandangan sistem ini telah menjejaskan kebajikan dan hak ramai pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia," katanya.

Selain itu, Teresa berkata kerajaan perlu menjelaskan mengapa Malaysia masih di status Tier 3 dalam pemerdagangan manusia memandangkan ia telah menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

"Ini akan memberikan impak material kepada perdagangan antarabangsa kita, terutama perdagangan dengan Amerika Syarikat dan sejumlah negara barat.

"Negara-negara ini telah menunjukkan sensitivi yang kuat terhadap hak asasi dan pekerja," katanya lagi.

Jenayah pemerdagangan

Menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2022, jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran berterusan walaupun kerajaan berulang kali dinasihatkan agar meningkatkan usaha mengesan mangsa pemerdagangan manusia dalam kalangan golongan rentan.

Malah, penyiasatan antipemerdagangan dilaporkan telah berkurangan dan "kerajaan tidak mendakwa atau menyabitkan pegawai kerajaan yang didakwa bersubahan dalam jenayah pemerdagangan".

Teresa berkata laporan itu sangat mengganggunya.

"saya terganggu dengan komen negatif dalam laporan, bahawa penyiasatan antipemerdagangan telah berkurang dan kerajaan gagal mendakwa atau menyabitkan pegawai kerajaan yang didakwa bersubahat.

"Malah, kerajaan juga gagal melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama bagi mengenal pasti mangsa ketika serbuan penguat kuasa atau dalam kalangan golongan rentan," katanya lagi.

Katanya, sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi penjelasan kepada warga Malaysia dan juga masyarakat antarabangsa berhubung kegagalan menepati standard minimum dalam pemerdagangan manusia.