Saksi nafi Bella jadi mangsa amang seksual sebelum dijaga Siti Bainun
Seorang penolong pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menafikan remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun dikenali sebagai Bella menjadi mangsa amang seksual sebelum hak penjagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun Ahd Razali.
Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, berkata dia terkejut kerana ini merupakan kali pertama dia mendengar isu amang seksual dibangkitkan pihak pembelaan.
Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor, mewakili Siti Bainun, pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi.
Saksi juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa individu yang melakukan amang seksual itu adalah seseorang yang dipanggil ustaz atau pun 'pakcik' di tempat Bella tinggal sebelum ini.
Nur A'minahtul Mardiah: Semasa rakaman (siasatan) di Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC), Bella ada menyebut tentang ustaz.
Mohamad Imran: Tidak tahu.
Nur A'minahtul Mardiah: Setiap kali Bella nampak individu seakan-akan pakcik atau ustaz...Bella akan menutup kemaluannya dengan kedua-dua belah tangan, adakah Encik Imran tahu mengenai perkara ini dan saksi itu menjawab “tidak tahu”.
Mohamad Imran juga tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa syor perintah tetap (hak penjagaan) diberikan kepada Siti Bainun antaranya disebabkan isu amang seksual.
Pada prosiding sebelum ini, Mohamad Imran berkata Mahkamah Majistret Kanak-Kanak membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun bermula 14 Julai sehingga 20 Sept 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 Sept 2020.
Menurut saksi itu, Bella sebelum ini ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban sejak 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai