Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

MP pertikai kaitan pakai seksi bila nenek, kanak-kanak, kambing pun dirogol

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) mempersoalkan tindakan sesetengah pihak ‘menghukum’ mangsa gangguan seksual apabila mengaitkannya dengan pemakaian mangsa.

Bekas ketua wanita PKR itu berkata, tindakan tersebut seolah-olah menjustifikasikan gangguan seksual kerana mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang dan umur.

Dia turut menceritakan pameran bertajuk ‘Am I At Fault?’ yang diadakan di Brussels, Belgium pada 2018, di mana ia mempamerkan baju-baju mangsa gangguan seksual.

“Ada baju budak 5 tahun bertuliskan My Little Pony. Ada baju uniform mangsa rogol, ada baju orang bersukan pakai tshirt...adakah kita mengatakan 'they asked for it?'

“Ini yang kita perlu reorientate pemikiran pihak-pihak penggubal undang-undang untuk mencipta enabling environment.

“Nenek 74 tahun pun kena rogol, kanak-kanak 5 tahun kena rogol, remaja lelaki pun kena rogol, malah kambing pun kena rogol. Sampai mati kambing tu. Adakah kita kata mereka berpakaian seksi?

“Jadi bagi saya ini hujah-hujah tidak rasional dan langsung tidak mencerminkan bahawa kita boleh membela nasib rakyat,” katanya dalam sesi perbahasan RUU Anti-gangguan Seksual di Dewan rakyat hari ini.

Terdahulu, Fuziah dalam perbahasannya merujuk kepada kenyataan Abdul Latif Abdul rahman (PAS-Kuala Krai) yang mengaitkan isu gangguan seksual dengan kewajipan menutup aurat.

Menurut Fuziah, meskipun ia tidak dinafikan merupakan kewajipan di dalam agama, tetapi tindakan seolah-olah menghukum itu membuatkan mangsa takut untuk tampil membuat laporan.

“Ya betul saranan agama, tetapi dikaitkan dengan membanteras gangguan seksual. Saya kira untuk mengaitkan...semalam juga ada ahli parlimen mengatakan tingkah-laku mengundang, seolah-olah menjustifikasi gangguan seksual.

“Ini adalah sikap judgmental yang tidak membantu kepada enabling environment.

“Kita sebagai ahli parlimen pasti akan terima aduan...kalau belum apa-apa kita dah jawab, 'pakai seksi lagi' kalau MP macam ni macam mana nak ajak mangsa untuk berani mengadu?” katanya.