Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kemalangan di George Town: Seorang lagi mangsa meninggal dunia

Seorang lagi penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town, Pulau Pinang awal pagi Ahad lepas, meninggal dunia hari ini.

Ini menjadikan keseluruhan lima penunggang motosikal maut dalam kemalangan yang dipercayai berlaku kira-kira pukul empat pagi di kawasan lebuh raya berkenaan menghala ke pusat bandar George Town.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata Mohd Haziq Harris, 34, yang cedera pada beberapa bahagian badan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Mangsa yang dibawa ke HPP selepas terlibat dalam kemalangan itu meninggal dunia kira-kira pukul 2.30 petang hari ini dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya dua lagi mangsa iaitu Muhammad Rahimi Shukor, 19, yang mengalami kecederaan di muka dan kepala telah dibenarkan pulang ke rumah, manakala Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, yang cedera di bahagian tangan, kaki dan muka masih menerima rawatan di hospital swasta.

Sementara itu, bapa kepada Mohd Haziq, Harris Shariff, 71, berkata kali terakhir dia bertemu dengan anak ketiga daripada empat beradik itu adalah pada 11.30 malam sebelum kemalangan dan arwah mahu keluar membeli keperluan dapur.

Dia berkata Mohd Haziq yang bekerja sendiri, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP dan jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Permatang Tok Elong, dekat George Town.

"Dia keluar menaiki motosikal milik abangnya dan beritahu mahu keluar sekejap sahaja, sebelum saya dimaklumkan berhubung kemalangan yang melandanya. Kami semua reda dan terima apa yang berlaku, sudah sampai masanya untuk anak saya kembali ke sana (meninggal dunia)," katanya.

Dalam kejadian itu, empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera parah selepas motosikal ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan termasuk kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.

Mangsa yang maut adalah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, dan Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25.

-Bernama