Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Hang Tuah tak kata 'takkan Melayu hilang di dunia' saja

ULASAN | Melayu menjadi 'mahal' adalah kerana berpegang pada agama Islam. Kita salah memetik kata-kata yang diungkapkan oleh Laksamana Hang Tuah kerana barangkali tidak membaca sehingga habis.

Kata-katanya bukan sekadar "tak akan Melayu hilang di dunia" tetapi ada sambungan lagi selepasnya iaitu "selagi Melayu berpegang kepada agama".

Sehingga ada yang memperjuangkan Melayu tetapi solat entah ke mana kerana atas dasar Melayu sahaja.

Hakikatnya, Melayu sebenarnya ada kaitan rapat dengan Islam. Dalam perlembagaan, disebut takrif kepada Melayu ialah seseorang yang beragama Islam dan secara lazimnya mengamalkan adat istiadat Melayu dan bercakap dalam bahasa Melayu, bukan disebabkan oleh keturunan.

Inilah yang diperjuangkan oleh Prof Burhanuddin Al-Helmi suatu ketika dahulu, bahawa orang Melayu ialah orang yang berpegang teguh pada agama Islam.

Melayu bukan hanya di Semenanjung Malaysia tetapi di seluruh Nusantara termasuk Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand - selagi mana seseorang itu beragama Islam.

Dalam pantunnya juga ada disebut:

Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan
.

Maksudnya jika Kota Melaka itu jatuh, akan dibina kekuatan di Jawa. Inilah konsep Melayu yang diperjuangkan iaitu Nasionalisme Melayu yang berasaskan Islam.

Prof Syed Naquib al-Attas pernah menyebut bahawa Melayu menjadi hebat apabila menerima Islam. Sebelum menerima Islam, Melayu tidak tersohor kerana tamadunnya tidak membangun.

Dia pernah menyebut dalam kuliahnya, "bangsa Melayu menemukan makna dirinya dengan Islam" yang bermaksud orang Melayu itu mengenali diri adalah kerana Islam.

Dengan Islam, orang Melayu menjadi ‘orang’ dan bangsa yang hebat. Bahasa Melayu menjadi lingua franca iaitu bahasa pertuturan di Nusantara, Acheh, Sumatera, Pasai dan Melaka.

Inilah kehebatan kerajaan Melayu pada ketika itu.

Bangsa Melayu terkenal dengan tamadun ilmu bukan kerana bangunan. Mereka tidak bersungguh untuk membina bangunan. Bangunan pula dibina daripada kayu.

Jadi, mereka lebih membina ilmu atau akal sehingga muncul orang hebat yang boleh bercakap mengenai perundangan dan perbincangan falsafah peringkat tinggi seperti pengajian sifat 20 untuk para ulama ketika itu melawan pemikiran di Greek.


MOHD AMAR ABDULLAH ialah naib presiden PAS yang juga timbalan menteri besar Kelantan.

Tulisan ini diambil dari hantaran di media sosialnya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.