Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kelab komedi kena simbah cat merah

Kelab komedi Crackhouse di Kuala Lumpur–yang terpalit dengan kontroversi persembahan yang didakwa menghina Islam–menjadi mangsa vendalisme.

Cat merah disimbah dan disembur di beberapa bangunannya, termasuk papan tanda.

Setakat ini belum pasti sama ada perbuatan itu mempunyai kaitan dengan persembahan seorang individu Siti Nuramira Abdullah yang didakwa menghina Islam.

Seorang pekerja di kawasan itu ketika ditemui enggan mengulas lanjut manakala seorang lagi berkata tiada sesiapa berada di kawasan itu ketika kejadian.

Jurucakap polis Kuala Lumpur memberitahu Malaysiakini, setakat ini mereka tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan perkata itu.

Dalam persembahan itu, wanita 26 tahun itu membuka tudung, baju kurung dan kain setelah mengaku menghafaz 15 juzul al-Quran.

Dia hari ini dibebaskan dengan ikat jamin tetapi ditahan pula oleh penguat kuasa agama untuk siasatan berkaitan kesalahan syariah pula.

Kekasih Nuramira–Alexander Navin Vijayachandran, 38–turut dihadapkan ke mahkamah kerana menyebarkan rakaman persembahan itu di media sosial.

Pengasas bersama Crackhouse Rizal Van Geyzel ditahan polis untuk disoal siasat mengenai isu yang menyentuh sensitiviti kaum.

Siti Nuramira Abdullah

Crackhouse mengecam persembahan Nuramira dan mengharamkan wanita itu dan pasangannya memasuki premis mereka dan membuat laporan polis.