Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suspek hina Islam ditahan reman 4 hari

Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW melalui hantaran video di media sosial semalam, kini direman selama empat hari.

Perintah tahanan reman ke atas suspek yang berusia 35 tahun itu dikeluarkan majistret Amal Razim Alias di Kuala Krai, Kelantan. Dengan itu bermakna lelaki terbabit akan berada dalam tahanan untuk membantu siasatan polis sehingga Jumaat ini.

Dia kini disiasat polis mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Malaysiakini semalam melaporkan polis Kelantan menahan lelaki yang didakwa menghina agama Islam serta nabi melalui hantaran video di Facebook sekali gus mengundang kemarahan orang ramai.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, DCP Muhamad Zaki Harun, berkata individu itu ditahan pada jam 11.30 pagi selepas satu laporan diterima kira-kira jam 9.15 pagi semalam.

Menurutnya siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja itu mengaku memuat naik video berdurasi 4 minit 14 saat yang menyebut perkataan penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad di lokasi tangkapan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang.