Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Sidang parlimen yang 'mendebarkan'

ULASAN | Kalau kita meneliti berita dari awal Julai tahun ini, rata-rata isu yang berlegar adalah berkaitan tentang masalah tadbir urus dan demokrasi beberapa negara yang kian serius.

Pertama, rakyat Sri Lanka melakukan demonstrasi besar-besaran bagi menuntut presidennya, Gotabaya Rajapaksa, melepaskan jawatan selepas terpalit dengan jenayah rasuah dan ketirisan sehingga keadaan ekonomi negara itu semakin tenat.

Kedua, tindakan ‘rebel’ ahli parlimen Konservatif - sama ada anggota kabinet atau ahli parlimen penyokong kerajaan - yang mendesak Boris Johnson berundur daripada jawatan perdana menteri United Kingdom (UK), kerana terpalit dengan skandal dan salah laku yang tidak berkesudahan.

Desakan untuk pemimpin utama di Sri Lanka dan UK berundur nampaknya berhasil. Rajapaksa mengalah dengan berundur pada 15 Julai dan Johnson menyerah pada 8 Julai.

Ia sekali gus membuktikan betapa berkesannya suara rakyat untuk menolak pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan gagal menunjukkan nilai integriti tinggi.

Tidak kira sama ada di negara dunia ketiga (Sri Lanka) atau pertama (UK), krisis kepimpinan dan urus tadbir dalam kerajaan tetap timbul. Kebanyakannya berpunca daripada sikap pemimpin kerajaan yang mementingkan diri dan tidak mengendahkan keperitan rakyat.

Nampak lambat bertindak

Menariknya, kedua-dua negara itu memilih parlimen sebagai jalan untuk meletakkan pentadbiran negara mereka di tempat yang betul. Ahli Parlimen Sri Lanka diberikan tempoh seminggu - bermula 16 Julai lalu - untuk memilih presiden baru.

Di UK pula, Konservatif sedang membuat pemilihan ketua baru parti berkenaan bagi menggantikan Johnson dan seterusnya akan menjadi perdana menteri yang ke-78.

Sekurang-kurangnya, Sri Lanka dan UK masih mempercayai parlimen sebagai tempat mencari jalan penyelesaian kepada kemelut politik. Namun sejauh manakah pemimpin dan rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan kepada institusi parlimen untuk meleraikan isu rakyat, ekonomi, dan politik?

Sidang Dewan Rakyat kali ini bakal menyaksikan perdebatan isu ekonomi dan politik terbesar bagi menguji ketahanan kerajaan Ismail Sabri Yaakob. Sidang kali ini boleh dikatakan pintu ke arah pilihan raya umum (PRU) ke-15 (PRU ke-15).

Kelemahan kerajaan menguruskan kenaikan harga barang dan inflasi cukup menggusarkan rakyat. Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan kerajaan telah memberi subsidi hampir RM80 bilion untuk membantu orang ramai.

Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam pula dikeluarkan Kementerian Kewangan sebagai langkah penjimatan kerajaan sekurang-kurangnya lima peratus daripada baki peruntukan mengurus tahun 2022 untuk menampung kos subsidi yang kini meningkat dua kali ganda.

Gambar hiasan

Namun, kebanyakan rakyat masih melihat kerajaan Keluarga Malaysia lambat bertindak menangani inflasi. Bantuan tunai pula kecil dan pelaksanaan subsidi penuh dengan ketirisan sehingga tidak sampai kepada golongan sepatutnya.

Penubuhan jawatankuasa ‘jihad’ pula hanya menambah kekecewaan rakyat.

Kecuaian kerajaan ini sedang memberi kelebihan kepada kem Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak yang tidak pernah lelah mendesak naib presiden mereka - Ismail Sabri - segera membuka jalan untuk PRU ke-15 diadakan segera.

Tindakan tak bertanggungjawab

Ismail Sabri juga tentu berdebar-debar apabila persefahaman yang dicapai dengan Pakatan Harapan (PH) menyatakan tarikh akhir dia tidak boleh memulakan langkah mengadakan PRU akan sampai pada akhir bulan ini.

Mungkin komitmen Ismail Sabri dalam melaksanakan janji memorandum persefahaman (MOU) untuk menambah baik sistem politik dan institusi boleh menjadi faktor kerajaannya terus mentadbir negara.

Pembentangan pindaan perlembagaan dan rang undang-undang (RUU) melarang ahli Dewan Rakyat melompat parti yang dijadualkan pada 27 Julai ini adalah kemuncak daripada MOU tersebut.

Pindaan ini amat penting dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi berparlimen yang telah dibebani dengan tindakan tidak bertanggungjawab sejumlah wakil rakyat melompat parti selepas PRU ke-14.

Gambar fail

Tetapi perlu diingat MOU berkenaan tidak memberi sebarang jaminan kepada Ismail Sabri. Konflik dalaman kerajaan - khususnya Bersatu yang mahukan jawatan timbalan perdana menteri - hanya menunjukkan kabinet yang ada sekarang sedang kehilangan hala tuju dalam menguruskan negara.

Perkara seperti ini boleh menjejaskan kerajaan Ismail Sabri dan memberi kesan kepada ujian keabsahan kerajaan di parlimen. Ia pernah terjadi pada mesyuarat parlimen pada Mac yang lalu apabila kerajaan Ismail Sabri gagal mendapatkan majoriti mudah bagi meluluskan RUU pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 yang lebih dikenali sebagai Sosma.'

Kumpulan Ahmad Zahid dan Najib pasti akan menguji majoriti Ismail Sabri dalam setiap usul atau RUU dibawa kerajaan. Disebabkan konflik Umno dan Bersatu kian ketara, ahli parlimen Umno dijangka cuba memberi tekanan untuk menggagalkan usul dibawa oleh menteri daripada Bersatu.

Penting tonjolkan dasar

Apa yang pasti, Ismail Sabri perlu bijak menyelesaikan masalah ekonomi dan politik yang melanda negara. Tanpa menyelesaikan isu-isu berkenaan, boleh dikatakan dia dan Umno bakal memasuki PRU ke-15 dengan rekod prestasi yang buruk.

Sejauh manakah Ismail Sabri mampu meredakan gelora kem Ahmad Zahid-Najib agar mereka tidak melakukan sesuatu di luar jangkaan?

Adakah kerajaan akan menggunakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menolak pindaan perlembagaan Umno yang mahu menangguh pemilihan parti?

Blok pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH), memasuki sesi parlimen kali ini dengan dinamik baru.

Perubahan kepemimpinan dalam PKR pula akan menjadi tumpuan ramai untuk melihat sama ada tokoh terbabit benar-benar memberi nilai tambah kepada pembangkang atau sebaliknya.

Apa yang lebih penting, pembangkang perlu menonjolkan dasar dan pimpinan segar dalam persidangan kali ini. Rakyat mahukan pembangkang yang efektif dalam mengemukakan kritikan dan cadangan dasar kepada kerajaan.

Blok pembangkang harus menonjolkan kesediaan menerajui kerajaan untuk penggal akan datang.

Isunya ialah, apakah pembangkang mampu mencari titik penyatuan dalam sesi kali ini sebagai persedian melawan Umno-BN dan Perikatan Nasional (PN) pada PRU akan datang?

Atau adakah pembangkang akan terus dibelenggu dilema?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik untuk Research for Social Advancement (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.