MP BN gesa hadkan kuasa negeri ke atas hutan, tanah
Seorang ahli parlimen BN mencadangkan agar kerajaan negeri tidak lagi diberi autonomi penuh ke atas perkara berkaitan tanah dan perhutanan seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berkata banjir yang melanda kawasannya baru-baru ini menunjukkan terdapat keperluan untuk kerajaan persekutuan campur tangan dalam urusan tanah.
"Lepas ni tiada lagi bagi kuasa sepenuhnya kepada kerajaan negeri. Pasal sudah banyak isu (bencana akibat pembangunan hutan) ini berlaku,” katanya di Dewan Rakyat.
Sebagai contoh, dia berkata negeri mesti mendapat kelulusan daripada Putrajaya jika mahu membangunkan hutan simpan.
Tambahnya, persempadanan kuasa ke atas tanah ketika ini boleh membawa kepada situasi di mana kerajaan persekutuan tidak tahu apa yang telah dilakukan oleh negeri terhadap hutan.
Baling telah dilanda banjir dua minggu lalu yang mengorbankan tiga orang dan ratusan yang lain kehilangan tempat tinggal.
Ramai yang mengaitkan banjir itu dengan penebangan hutan di Gunung Inas untuk memberi laluan kepada ladang durian.
Projek ladang durian itu sendiri sepatutnya menjadi ladang pembalakan pokok getah, dan menteri besar dahulu dan sekarang kini saling menyalahkan antara satu sama lain berhubung projek itu.
Azeez berkata bencana telah melanda beberapa kawasan di negara ini tahun ini, termasuk di Bentong, Hulu Langat, Jelebu, dan Janda Baik.
Setiap kali bencana berlaku katanya, kerajaan negeri tidak mampu menampung keperluan kerajaan persekutuan dan agensi untuk memberikan bantuan bencana.
Justeru, katanya, kerajaan sekurang-kurangnya perlu mempunyai wakil dalam lembaga kerajaan negeri yang memutuskan perkara berkaitan tanah.
Azeez membuat saranan itu semasa membahaskan Rang Undang-undang Perhutanan Negara (Pindaan).
Rang undang-undang itu tidak memperuntukkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Putrajaya campur tangan dalam urusan tanah negeri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai