Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Orang Asli Perak serah memorandum henti pembalakan di tanah adat

Sekumpulan masyarakat dan tok batin Orang Asli di Perak hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Saarani Mohamad bagi membantah kegiatan pembalakan di mana-mana kawasan tanah adat Orang Asli di negeri itu.

Memorandum diserahkan kepada pegawai Saarani di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Kira-kira 200 Orang Asli berkumpul di perkarangan DUN seawal 8.30 pagi ini. Kebanyakannya hadir dengan menaiki dua buah bas, selain motosikal dan kereta.

Salah seorang tok batin, Abdul Rahman dari Ulu Perak menyuarakan rasa bimbang dan sedih terhadap kesan pembalakan di negeri itu, yang turut melibatkan perkampungan Orang Asli.

Dia berkata masyarakat Orang Asli bukan sekadar bimbang terhadap banjir yang berpunca daripada penebangan hutan, malah terjejasnya habitat haiwan yang akhirnya akan mula masuk ke kampung mereka akibat hilang tempat berlindung.

"Macam pihak kerajaan (Perak) tak apalah.. mereka duduk di dalam pejabat, dalam aircond. Yang menghadapinya (keadaan sedemikian) adalah kami Orang Asli yang duduk di hutan.

“Jadi saya minta kegiatan pembalakan ni, pihak kerajaan tolonglah cari tempat yang tidak melibatkan perkampungan Orang Asli. Saya harap pihak kerajaan tolong dengar keluhan hati kami.

“Ke mana lagi kami nak mengadu hal ini? Engkau yang naik (berada dalam kerajaan), engkau yang jaga negeri, engkaulah yang kami harap.

Kalaulah ada jalan yang boleh kami naik jumpa Tuhan...tapi tak boleh (tak ada) jalan. Jadi kami harap pihak kerajaan tolonglah dengar keluhan kami,” rayunya yang kelihatan terdesak menerusi video yang dihantar salah seorang hadirin kepada Malaysiakini.

Memorandum bantahan antara lain mendakwa sebelum ini persetujuan tidak pernah diberikan untuk kegiatan pembalakan melibatkan tanah adat Orang Asli sebelum ia dijalankan, sehingga mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat Orang Asli.

“Sebagai contoh, sebagaimana dipaparkan dalam media, kehidupan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Papan dan Kampung Cunex di Ulu Perak telah terjejas akibat pembalakan di wilayah tanah adat mereka.

“Pada masa ini, Orang Asli di Kampung Sungai Teras, Slim River juga mengalami nasib yang sama. Terkini, Orang Asli di Kampung Chang Sungai Gepai, Kampung Chang Baru dan Kampung Senta di Bidor akan berdepan dengan isu sama sekiranya pembalakan yang telah diluluskan di wilayah tanah adat mereka dijalankan.

“Pastinya Orang Asli di Perak akan terus berdepan dengan isu ini dan kehidupan mereka terus dimudaratkan memandangkan, pembalakan adalah antara industri utama di negeri ini,” menurut memorandum tersebut.

‘Cara pungut hasil yang wajib diubah’

Sementara itu, Adun Pasir Pinji Howard Lee yang turut hadir ketika penyerahan memorandum mempersoalkan mengapa kerajaan negeri berdegil meneruskan aktiviti pembalakan sebelum ini walaupun penduduk Orang Asli menyuarakan bantahan dalam sesi libat urus yang dibuat

“Jadi ini adalah cara pentadbiran pungutan hasil atau nak dapatkan hasil daripada sumber asli yang harus, perlu dan wajib berubah kerana iklim negeri pun dah berubah.

“Saya ucapkan terima kasih kerana ini satu daripada cara nak elakkan daripada malapetaka untuk terus terjadi. Terima kasih kepada tok batin- tok batin kerana berani menyuarakan suara warga setempat demi masa hadapan dan juga warga sekarang.

“Sekiranya bantahan ini tidak didengar, kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan,” kata pemimpin DAP itu.