Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Nasib Pejuang di tangan rakyat

ULASAN | Pengamatan para penganalisis politik terhadap peluang parti Pejuang dalam PRU15 akan datang sememangnya suatu yang realistik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata “Parti (Pejuang) akan sedar apabila menyedari bahawa ia mempunyai peluang yang lebih tipis untuk menang".

Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia pula berkata sasaran Pejuang (120 kerusi) adalah terlalu jauh untuk dicapai.

Begitu juga dengan Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yang berkata “saya rasa Pejuang mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi beberapa kerusi (di Kedah) berbanding 120 kerusi di peringkat nasional," seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today pada 12 Julai lalu.

Blok Politik lawan Real Politik

Pandangan-pandangan ini jelas sekali berdasarkan perspektif ‘blok politik’. Sistem blok politik ini wujud untuk mengelak dari bertembung sesama sendiri dalam pilihan raya yang akhirnya akan memecahkan undi yang tidak menyokong blok kerajaan.

Namun, realiti politik hari ini lebih sukar kerana pecahannya terlalu besar. Terlalu besar bermaksud terlalu banyak fraksi antara parti dan pemimpin yang membingungkan rakyat.

Sekalipun fraksi politik ini berjaya ditampung, ia masih terpecah kerana wujud lebih dari dua blok. Kita akan ada BN, PN dan PH. Ini belum dikira adanya pecahan dalaman seperti Muafakat Nasional (MN), PKR dan PH Plus.

Justeru, pandangan-pandangan yang realistik berhubung keperluan untuk wujud dua blok politik ini akhirnya menjadi tidak realistik apabila kita mengambil kira konteks ‘real politik’ hari ini.

Perspektif lawan ego

Seperti yang saya nyatakan, jika kita melihat dari perspektif ‘blok politik’, akhirnya kita akan terus tersepit kerana perpecahan di kalangan pembangkang yang berlaku pada hari ini bukan kerana perbezaan dasar politik, tetapi kerana ego politik.

Ego politik ini adalah masalah personaliti yang terbelit dengan idealisme perjuangan seseorang dan kelompok dalam konteks kepartian. Dan ini adalah masalah yang rumit dan memerlukan masa untuk pulih – menerusi kompromi.

Ego politik ini tidak ada ubatnya kecuali semua parti akan menerima kekalahan besar dalam pilihan raya nanti. Hanya ini yang mampu mengajar ego mereka semua.

Bergerak di luar kerangka parti

Menyedari masalah ini, Tun Mahathir mengambil langkah yang berbeza berdasarkan perspektif yang berlainan. Langkah ini bukan percubaan atau eksperimen, tetapi ia adalah langkah untuk bergerak dari luar kerangka pemikiran kepartian.

Pada Jun lalu, Tun Mahathir mengumumkan bahawa Pejuang akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan profesional bagi menghadapi PRU15.

Mungkin tidak ramai yang memberi perhatian pada langkah ini, namun saya sedar bahawa ini adalah satu langkah yang tegas dan berani.

Bekerjasama dengan NGO yang bebas (tidak bergantung) dan tidak terikat dengan tokoh atau dasar parti adalah lebih merakyat dan ia merupakan satu kelebihan mengatasi kerjasama dengan parti politik

Malah kita sedar bahawa ramai tokoh-tokoh berwibawa dikalangan NGO ini yang layak untuk menjadi calon dalam pilihan raya. Daripada 120 buah kerusi Parlimen, terdapat lebih daripada 40 peratus kawasan yang mempunyai potensi pengundi yang sedia memilih calon berwibawa berbanding calon parti politik.

Jika kita memahami teori psikoanalisis – langkah Tun Mahathir ini adalah suatu gerakan untuk mendorong keinginan ‘bawah sedar’ rakyat yang tidak berparti untuk kembali menyakini kebolehan diri sendiri tanpa perlu bergantung dengan parti politik arus perdana.

Tidak dinafikan, usaha ini berdepan risiko untuk gagal atas faktor realiti yang sukar diubah dalam masa yang singkat. Namun ia usaha yang berbaloi kerana kita perlu juga sedar bahawa politik ini suatu marathon, bukan larian pecut 100 meter sahaja.

Imbau kembali sejarah Tun Mahathir melaksanakan idea-idea sewaktu beliau menjadi perdana menteri selama 22 tahun – Kereta Nasional, Lebuhraya Utara Selatan, Jambatan Pulau Pinang, Putrajaya dan banyak lagi.

Ketika itu, semua idea-idea ini dianggap tidak masuk akal, sehinggalah apabila semua itu berjaya dituntaskan. Akhirnya, nasib parti ini akan tetap ditentukan oleh rakyat.


MAHDZIR IBRAHIM adalah ahli Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.