Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PM: Pelaksanaan subsidi minyak bersasar tak semudah ABC

PARLIMEN | Melaksanakan subsidi bersasar untuk membantu mereka yang paling memerlukan adalah perkara yang rumit, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai contoh, katanya, walaupun penggunaan minyak bersubsidi dalam polibeg tidak dibenarkan untuk tujuan komersil, ada golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menggunakannya untuk mencari rezeki.

"Mak cik jual goreng pisang, mereka tak boleh guna minyak masak (bersubsidi) untuk jual goreng pisang, itu salah.

"Sebab minyak masak paket ini tidak boleh untuk komersial. Tapi adakah penguat kuasa nak saman makcik ni atau rampas minyak masak?

"Nanti dituduh kita zalim pula terhadap rakyat miskin yang nak jual, kais pagi makan pagi. Bukan mudah seperti ABC," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail berkata sesiapa yang mengawal selia minyak masak bersubsidi tidak akan sampai hati untuk mengambil tindakan.

Dia menjawab soalan ketua pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson), yang bertanya tentang bagaimana kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup.

Anwar menggesa kerajaan memaksa syarikat minyak sawit yang mengaut keuntungan besar memperuntukkan 10 hingga 15 peratus daripada keluaran mereka dijual pada harga rendah.

Ismail menjawab bahawa terdapat pelbagai cabaran dalam memastikan minyak yang lebih murah sampai ke tangan yang betul.

Sebagai contoh, dia berkata penyeludupan minyak bersubsidi merentasi sempadan adalah masalah besar dan kerajaan sedang meningkatkan usaha untuk membanteras aktiviti itu.

Sementara itu, mengenai subsidi petrol, perdana menteri menegaskan bahawa ia telah dikaji oleh pelbagai pentadbiran termasuk PH, tetapi penyelesaian konkrit masih belum diuji.

Anwar bagaimanapun berkata, jika kerajaan mempunyai tekad politik, ia boleh menurunkan harga bagi B60.

Mengenai pasukan petugas, Ismail berkata pasukan petugas kos sara hidup telah wujud sejak 2014.

Di bawah kerajaan PH, katanya, ia dikenali sebagai Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup.

Majlis ini, katanya, melihat gambaran besar mengenai dasar, dan bermesyuarat dua kali setahun.

Bagaimanapun, dengan kenaikan kos sara hidup sekarang, kerajaan memutuskan bahawa pasukan petugas itu - kini digelar Pasukan Petugas Khas Jihad Menentang Inflasi - perlu bermesyuarat dua kali seminggu dan bersikap proaktif dalam mengambil langkah membendung inflasi.