Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saifuddin enggan komen kedudukan Tajuddin sebagai duta

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah, enggan mengulas lebih lanjut mengenai status Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman, yang sebelum ini dikatakan dipilih sebagai duta negara ke Indonesia.

Dia sebaliknya menegaskan, pendirian Wisma Putra dalam hal membabitkan lantikan duta adalah kekal seperti sebelum ini, iaitu tidak mengumumkan sebarang nama sebelum mereka menerima watikah daripada Yang di-Pertuan Agong.

“Nama itu hanya akan keluar pada hari penyerahan watikah.

"Maknanya kalau Seri Paduka Baginda menyerahkan watikah, kalau lima (watikah), limalah, kalau sepuluh, sepuluhlah... itu yang rasmi," katanya.

Hal yang sama berlaku ke atas diplomat asing yang menjadi wakil negara luar ke Malaysia.

Kata ahli parlimen Indera Mahkota itu jika diplomat terbabit menerima watikah daripada Agong, barulah mereka secara rasmi menjadi wakil kepada sesebuah negara.

“Sebab itu Wisma Putra lazimnya tidak mengeluarkan apa-apa (kenyataan), siapa bakal jadi duta, siapa bakal diterima sebagai duta... kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya dalam sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.

Tajuddin sebelum ini dijadualkan menerima watikah lantikan daripada Al Sultan Abdullah pada 20 Jun lalu.

Bagaimanapun majlis itu ditangguhkan seketika apabila Agong gering pada bahagian kaki.

Apabila majlis penyerahan watikah kemudiannya dilangsungkan pada 12 Julai lalu, nama Tajuddin tidak berada dalam senarai tersebut.

Pelantikan Tajuddin sebagai duta ke Indonesia mengundang kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas diplomat.

Beberapa pihak dalam Umno turut mendesak agar Tajuddin digugurkan khususnya apabila dia membuat pelbagai pendedahan dan dakwaan ke atas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, tidak lama selepas dia digugurkan dari majlis kerja tertinggi parti bekenaan.

Pada 2 Julai Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, desakan supaya pelantikan Tajuddin dibatalkan adalah cubaan untuk mempersoal kuasa Agong.

Ini kerana, katanya, cadangan melantik Ahli Parlimen Pasir Salak itu ke jawatan berkenaan sudah mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah.