Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Rafizi: Tak perlu bodek, pertahan Anwar

Kepimpinan baru PKR tidak perlu membodek atau mempertahankan Anwar Ibrahim apabila presiden parti itu dikritik, tegas timbalan presiden PKR yang baru, Rafizi Ramli.

Menurut Rafizi, tiada sesiapa perlu mempertahankan Anwar daripada sebarang kritikan kerana peranan penting PKR adalah untuk menarik semula sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Kalau saya menjadi Anwar Ibrahim, saya rasa kita perlu terima factual finding (hakikat sebenar) kerana jika kita tidak melakukan apa-apa, ia (situasi sedia ada) akan diterjemahkan kepada keputusan pilihan raya, (di mana) hakikatnya dia telah hilang populariti.

“Apa yang penting untuk parti dan kepimpinan baru adalah bukannya cuba membodek Anwar ke, pertahankan Anwar ke..

“Anwar adalah Anwar Ibrahim. Dia tidak perlu dipertahankan. Apa yang perlu kita lakukan adalah untuk merayu kepada rakyat dan cuba menang (PRU) semula,” katanya kepada pemberita ketika Kongres Nasional ke-16 di IDCC, Shah Alam hari ini.

Dia berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang menepis kritikan bahawa Anwar merupakan beban dan liabiliti dalam parti itu.

Mengulas lanjut mengenai langkah mengembalikan semula sokongan rakyat, bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata PKR perlu mencari penyelesaian sekiranya parti itu kurang berjaya memenangi hati golongan tertentu, khususnya golongan muda.

“Contohnya, jika peranan yang perlu dimainkan untuk mendapatkan undi orang muda itu tidak melibatkan Anwar, maka ia tidak menjadi masalah kerana akhirnya kita perlu menang.

“Masalah kita ialah apabila kalau ada beberapa kelompok di keliling Anwar, yang sering merasakan mereka perlu membela Anwar sehingga tak boleh ada fakta yang dilihat menyentuh Anwar, ini tak boleh jadi,” katanya.

Menurut Rafizi, terdapat kumpulan yang rapat dengan Anwar dalam PKR yang merasakan mereka perlu sentiasa mempertahankan presiden parti.

Katanya, mereka melakukan sedemikian sehingga perkara yang sebenar tidak dapat disampaikan terhadap Anwar.