Tajuddin akur sebarang keputusan isu pelantikan duta
Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata dia akan akur dan menerima sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubung pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia.
Pemimpin Umno itu dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata bahawa dia sudah bertemu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya semalam dan diberi gambaran keseluruhan pelantikan itu.
Jelasnya, dia tidak boleh mendedahkan butiran perjumpaan itu kerana menghormati kabinet.
“Berhubung kedudukan sekarang, saya tidak tahu. Cuma saya sudah dilantik kabinet dan proses seterusnya, saya serahkan kepada kerajaan. Saya percaya kerajaan boleh bertindak dan membuat keputusan dengan bijaksana.
“Yang penting kalau sekiranya khidmat saya diperlukan, saya akan berkhidmat untuk rakyat dan negara. Malah, saya boleh menerokai peluang yang ada supaya kedua-dua buah negara sama-sama menikmati kerjasama yang membawa kepada kemajuan dalam pembangunan, ekonomi, pendidikan dan lain-lain,” katanya.
Tajuddin turut menafikan tanggapan bahawa dia tidak layak menjawat jawatan itu dengan mendakwa bahawa tanggapan itu hanya bertujuan untuk memburukkan nama baik seseorang pemimpin.
"Mereka buat macam-macam cerita yang bukan bertujuan baik. Semua bertujuan dengki, khianat. Apakah mereka ingat saya ini langsung tidak ada kemampuan? Kelulusan? Pengalaman?
“Itu dari pembangkang, saya tidak kisah. Tetapi, saya kesal orang Umno sendiri ikut sama, apa masalahnya? Tidak mengapalah, saya tidak patah semangat.
"Saya yang sudah berkhidmat lebih 50 tahun ini, akan terus berkhidmat menggunakan pengalaman yang ada sebagai wakil rakyat, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan timbalan menteri,” ujarnya.
Tajuddin mengesahkan pelantikannya sebagai duta Malaysia ke Indonesia pada Mei lalu, menggantikan diplomat Zainal Abidin Bakar.
Bagaimanapun, media kemudian dilaporkan Tajuddin bukanlah antara duta baru yang menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong minggu ini.
Free Malaysia Today memetik sumber sebagai berkata bahawa Tajuddin telah digugurkan sebagai duta ke Indonesia.
Bagaimanapun, The Malaysian Insight memetik sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan FMT, dan pelantikan Tajuddin dikatakan hanya "ditangguh".
Tajuddin dan empat duta lain sepatutnya menerima watikah pelantikan mereka bulan lalu, tetapi upacara itu ditangguhkan selepas Agong dimasukkan ke hospital.
Pelantikan Tajuddin mencetuskan reaksi orang ramai, dengan ramai yang mempersoalkan keupayaannya untuk bertindak sebagai diplomat kerana rekod prestasinya yang dilihat agresif dan tidak diplomatik.
Dia telah disingkirkan sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu kerana pengendaliannya yang dianggap tidak sensitif berhubung kemalangan LRT yang menyebabkan ramai cedera.
Beberapa hari selepas majlis pelantikan pada 20 Jun ditangguhkan, Tajuddin dipecat sebagai ahli majlis tertinggi Umno.
Pemecatan itu dikaitkan dengan perselisihan dengan presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Berikutan itu, Tajuddin mengadakan sidang akhbar membidas Zahid sebagai berbohong kepada Umno tentang tindakan menyokong ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sebelum ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai