Sri Lanka sahkan Rajapaksa letak jawatan sebagai presiden
GLOBAL l Speaker Parlimen Sri Lanka Mahinda Yapa Abeywardena pada Jumaat mengesahkan Gotabaya Rajapaksa telah meletak jawatan sebagai presiden negara itu.
Gotabaya menghantar surat peletakan jawatannya menerusi e-mail pada Khamis selepas tiba di Singapura dari Maldives, setelah melarikan diri dari Sri Lanka dengan pesawat tentera pada Rabu berikutan protes besar-besaran terhadap pemerintahannya.
Beliau sebelum ini telah melantik Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe sebagai pemangku presiden.
"Gotabaya sudah letak jawatan secara sah," kata Abeywardana.
Gotabaya yang menjadi presiden pada November 2019 merupakan seorang pegawai tentera bersara yang memainkan peranan penting dalam menamatkan perang saudara Sri Lanka selama beberapa dekad.
Speaker Parlimen Maldives Mohamed Nasheed dalam hantaran media sosial pada Khamis turut mendedahkan Gotabaya kini bukan lagi presiden.
"Presiden GR telah meletak jawatan. Saya harap Sri Lanka kini boleh bergerak ke hadapan. Saya percaya Presiden tidak akan meletak jawatan jika beliau masih berada di Sri Lanka, kerana bimbang nyawanya terancam. Saya memuji tindakan bertimbang rasa kerajaan Maldives. Tahniah kepada rakyat Sri Lanka," ciap Nasheed di Twitter.
Ramai rakyat Sri Lanka mengkritik Maldives kerana membantu Gotabaya melarikan diri. Peletakan jawatan Gotabaya menandakan kejatuhan hebat puak Rajapaksa selepas memegang tampuk politik Sri Lanka selama dua dekad.
Adiknya Basil Rajapaksa, yang memiliki kerakyatan Amerika, berhenti sebagai menteri kewangan pada April, manakala abangnya Mahinda Rajapaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Mei.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai