Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Umno gesa k'jaan beri penjelasan rasmi, tubuh RCI

Kenyataan daripada pelbagai pihak berhubung isu tuntutan waris kesultanan Sulu terhadap kerajaan hari ini hanya mengelirukan rakyat, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Justeru, katanya, pihak kerajaan khususnya Pejabat Peguam Negara perlu tampil memberi penjelasan rasmi bagi menjernihkan keadaan.

Menurut Khaled, pelbagai perspektif mengenai isu itu telah diutarakan oleh pihak dari dalam kerajaan mahupun pembangkang namun tidak pasti penjelasan mana yang harus dipegang.

Oleh demikian, dia berkata masyarakat awam berhak untuk mengetahui perkara sebenar tanpa dipengaruhi pandangan politik atau berdasarkan kepentingan mana-mana pihak.

"Tidak ada cara lain yang lebih absah dan sahih melainkan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan. Pihak kerajaan, Pejabat Peguam Negara khususnya, mesti tampil memberikan penjelasan rasmi yang lengkap, telus dan tulus berhubung perkara ini," tegas Khaled dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Pemuda Amanah membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa mereka membuat kenyataan mengelirukan berhubung isu tersebut.

Pada 12 Julai lalu, waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia dilaporkan merampas dua anak syarikat gergasi minyak Malaysia Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pihak peguam berkata mereka merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Namun Mahkamah Rayuan Paris membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award bagi tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris dan successors-in-interest kepada Sultan Jamalul Kiram II tersebut.

Mengulas lanjut, Khaled yang juga bekas menteri besar Johor berkata kerajaan juga boleh mempertimbangkan alternatif lain seperti penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Katanya, RCI sebelum ini berjaya menyelesaikan pelbagai isu nasional antaranya membabitkan pendatang asing di Sabah dan kontroversi pengurusan Tabung Haji.

"RCI adalah forum paling neutral dan terbuka dalam meneliti serta mencari kebenaran dalam isu-isu berkepentingan nasional.

"Biar apa pun instrumen dan pendekatan yang dipilih oleh kerajaan, akhirnya matlamat dan fokus utama kita adalah memberikan maklumat dan pencerahan yang lengkap dan selayaknya kepada masyarakat awam.

"Kegagalan berbuat demikian pasti akan menyemarakkan perbalahan dalam kalangan banyak pihak. Terutamanya mereka yang tidak akan berhenti mengeluarkan versi dan dakwaan masing-masing berhubung perkara ini," katanya.

Kerajaan juga perlu menangani isu tuntutan tersebut sebaiknya kerana dia berpandangan perkara itu berpotensi menjadi ancaman keselamatan yang serius, katanya lagi.