Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Fuziah luah sikap 'pandang rendah' keupayaan wanita dalam PKR

Penyandang Ketua Wanita PKR Fuziah Salleh hari ini meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap apa yang menurutnya sebagai amalan memandang rendah keupayaan wanita dalam parti itu.

Bercakap ketika perasmian kongres Wanita PKR, dia berkata bahawa usaha untuk mengupayakan wanita dalam parti dalam membuat keputusan perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh.

“Ini bakal mencabar the normal norms atau kebiasaan kaum lelaki yang pada dasarnya lebih menyetujui lelaki sebagai pemimpin, lebih daripada menyetujui wanita sebagai pemimpin.

“Pengalaman saya dalam parti selama 23 tahun ini, saya rasakan bahawa wanita kena jadi extra good to be accepted as good.

“Kadang-kadang ada juga rasa bahawa domain wanita hanya berada dalam sayap wanita. Bila kita masuk dalam arus perdana parti, kita dilihat bersaing dengan kaum lelaki dan tidak disukai,” katanya.

Bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri itu mengingatkan proses membuat keputusan dalam parti adalah saling melengkapi antara idea kaum lelaki dan perempuan, dan bukannya bersaing sesama sendiri.

Terdahulu dalam ucapannya, dia memberikan contoh bagaimana dalam sesebuah keluarga, keputusan banyak dibuat oleh ketua keluarga seperti ayah atau abang sulung, manakala kaum wanita dalam keluarga lebih memilih untuk menurut sahaja tanpa banyak bicara.

“Ia banyak membentuk jati diri dan keperibadian seseorang anak perempuan dalam perkembangan mereka, khususnya dalam proses membuat keputusan. Ikutlah, ikutlah, ikutlah..

“Dan dalam pemilihan pun wanita ikut saja apa yang ketua cabang cakap. Wanita tak fikir pun siapa yang dia nak pilih jadi calon naib presiden contohnya, ketua cabang kata ikut cai, ikut je cai sebab ketua cabang lelaki. Betul tak?,” katanya dalam nada yang jelas kecewa.

Pada masa sama, dalam ucapannya yang bertajuk ‘Mengupayakan Wanita’ itu, dia memuji Pengarah Komunikasi PKR yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil yang sering menggalakkan wanita untuk bertanding.

Sementara itu, dalam sidang media selepas perasmian, Fuziah berkata dia akan memastikan bahawa calon-calon ahli Parlimen dalam kalangan Wanita PKR bukan hanya untuk mengisi kuota tetapi sebagai calon yang berkualiti.

“Setakat ni kita pegang kepada 'perlembagaan' we try our best to achieve..sebab kita pun tak nak setakat capai kuota tapi kita nak wanita berkualiti juga.

“Jadi kita seiringan di mana kita pastikan laksanakan perlembagaan kita itu, kita juga membina keupayaan wanita. kita punya latihan harus berterusan supaya wanita bersedia.

“Sebab public ini very critical when it comes to women…Kalau YB itu lelaki, orang tak kritikal sangat, kadang-kadang YB lelaki itu tak pandai bahas pun, tapi orang tak kritikal sangat,” katanya yang menyasarkan agar jumlah peratusan calon ahli parlimen PKR meningkat kepada 40 peratus daripada 30 peratus, berdasarkan perlembagaan parti.