Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

DBKL batal notis pengusiran terhadap Kebun-kebun Bangsar

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini membatalkan notis saman yang dikeluarkan ke atas Pusat Komuniti Kebun-Kebun Bangsar.

Dalam kenyataannya, DBKL berkata kebun tersebut kini diselaraskan di bawah Local Agenda 21 Kuala Lumpur (LA21) sebagai kebun kejiranan bandar.

LA21 adalah program bertujuan melaksanakan pembangunan lestari di peringkat tempatan.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan dipengerusikan Pengarah Eksekutif (Perancangan) DBKL Sulaiman Mohamed bersama-sama wakil Kebun-kebun Bangsar, pemegang taruh berkaitan, wakil penduduk setempat dan juga TNB.

Kebun-kebun Bangsar terletak di tanah rizab kerajaan di bawah talian kuasa voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Pantai.

Kebun itu menjalankan penanaman bunga, sayuran dan cendawan. Selain itu, haiwan seperti burung merak, kambing, itik dan ayam turut diternak.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini pada 2017, pengasasnya Ng Sek San berkata kebun tersebut antara lain bertujuan menambah lagi ruang-ruang awam yang kian berkurangan di Kuala Lumpur.

Beroperasi sejak Oktober 2016, Kebun-kebun Bangsar hari ini meraih pujian DBKL sebagai projek contoh menggunakan tanah rizab TNB.

"Pelbagai aktiviti telah dijalankan sehingga menjadi kebun contoh yang berjaya serta dilawati oleh pelbagai delegasi dalam dan luar negara.

"Kebun ini juga telah mendapat pelbagai sokongan dari media dan orang awam kerana menjalankan aktiviti pendidikan pertanian kepada pelawat yang datang ke kebun tersebut kerana kepelbagaian jenis tanaman dan herba.

"Kebun ini juga telah menerima pelbagai geran dari Khazanah Nasional dan ThinkCity atas inisiatif “placemaking” yang baik," kata DBKL.

Pada akhir bulan lalu, Kebun-kebun Bangsar memaklumkan pihaknya menerima satu lagi notis pengusiran daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP).

Notis itu menyatakan ladang itu didakwa melanggar Seksyen 425(1) Kanun Tanah Negara.

Ia dikeluarkan hanya selepas beberapa minggu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memuji inisiatif tersebut.

Notis bertarikh 23 Jun itu meminta Kebun-Kebun Bangsar "untuk merobohkan kesemua struktur terlibat dan mengosongkan tanah kerajaan yang diduduki sekarang ini."

"Sekiranya ingkar, pihak tuan boleh, jika disabitkan, dikenakan denda yang tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk suatu tempoh tidak melebihi lima tahun. Sebarang rayuan tidak akan dipertimbangkan lagi," kata notis itu.