RUU antilompat parti dimuktamadkan, pembentangan 18 Julai
Rang Undang-Undang (RUU) antilompat parti sudah dimuktamadkan dan akan dibentang pada persidangan Parlimen bermula pada 18 Julai hingga 4 Ogos ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurutnya, RUU terbabit bersama penyata laporan Jawatankuasa Pilihan Khas akan diletak di atas meja ahli Parlimen pada 18 Julai ini.
"Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bil 6 2022 hari ini berjaya memuktamadkan draf RUU dan meneliti draf penyata yang bakal dibentang pada persidangan Parlimen bermula 18 Julai hingga 4 Ogos ini.
"Perbincangan hari ini turut meneliti dan mempersetujui garis masa RUU ini termasuk pembentangan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“RUU ini dicadangkan akan dibahaskan pada 27 dan 28 Julai 2022 di Dewan Rakyat, walau bagaimanapun ia tertakluk kepada budi bicara Yang Di Pertua Dewan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Junaidi, setelah mendapat kelulusan kedua-dua dewan, RUU tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan di antara 11 hingga 26 Ogos 2022 untuk diperkenankan.
Manakala, pewartaannya dijangka bakal dibuat di antara 29 Ogos hingga 2 September ini.
Bagaimanapun Wan Junaidi berkata berkata, terdapat beberapa persoalan yang telah dibangkitkan segelintir ahli jemaah menteri menerusi mesyuarat kabinet yang berlangsung pada 1 Jun lalu dan persoalan-persoalan tersebut telah dijawab oleh jawatankuasa pilihan khas serta dipanjangkan ke mesyuarat mereka pada pagi tadi.
Dia juga berkata, masa RUU itu juga mencadangkan supaya libat urus pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Pejabat Peguam Negara (AGC) bersama ahli Dewan Rakyat kerajaan dan pembangkang pada 25 dan 26 Julai.
Sesi libat urus bersama ahli Dewan Negara pula akan diadakan pada 8 Ogos dan bacaan kali pertama di Dewan Negara adalah pada 9 Ogos diikuti bacaan kedua pada hari berikutnya.
Akta itu sepatutnya digubal semasa mesyuarat persidangan pertama Dewan Rakyat tahun ini. Tarikh akhir itu luput pada 24 Mac.
Terdapat 39 ahli Parlimen yang telah melompat parti sejak pilihan raya umum 2018.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai