Kenapa Tajuddin tiada dalam senarai duta terima watikah Agong?
Para duta baru Malaysia akan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong pada esok Selasa (12 Julai).
Bagaimanapun, Malaysiakini mengetahui daripada sumber yang boleh dipercayai bahawa Tajuddin Abdul Rahman - yang dijadual menjadi duta besar ke Indonesia - tidak termasuk dalam senarai menerima watikah esok.
Malaysiakini telah menghubungi Tajuddin untuk pengesahan mengenai perkara itu.
Satu lagi sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai majlis itu mengesahkan ia akan berlangsung esok, tetapi enggan mengulas apabila ditanya mengenai kenapa Tajuddin tidak berada dalam senarai itu.
Tidak jelas mengapa nama Ahli Parlimen Pasir Salak itu tiada dalam senarai penerima watikah atau jika pelantikannya telah dibatalkan.
Free Malaysia Today pula memetik sumber sebagai berkata Tajuddin telah digugurkan sebagai duta ke Indonesia.
Bagaimanapun, The Malaysian Insight memetik sumber yang rapat dengan Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan FMT, dan pelantikan ahli parlimen itu cuma "ditangguh".
Tajuddin kemudiannya dipetik oleh Sin Chew Daily sebagai berkata, "tiada komen, tanyalah menteri luar atau perdana menteri."
Tajuddin dan empat bakal duta lain sepatutnya menerima watikah pelantikan mereka pada bulan lalu, tetapi majlis itu ditangguhkan atas sebab yang tidak didedahkan.
Kini, nampaknya hanya empat duta sahaja yang akan menerima watikah pelantikan mereka esok.
Keempat-empat mereka dikatakan akan menjadi duta Malaysia ke Jepun, Arab Saudi, Iran dan Korea Selatan.
Pelantikan Tajuddin mencetuskan pelbagai maklum balas, dengan sesetengah pihak mempersoalkan keupayaannya untuk menjadi diplomat kerana rekod prestasinya yang dilihat agresif.
Dia dipecat sebagai pengerusi Prasarana pada Mei tahun lalu dikatakan kerana pengendaliannya yang tidak sensitif terhadap kemalangan LRT yang menyebabkan ramai cedera.
Beberapa hari selepas majlis pelantikan Tajuddin sebagai duta pada 20 Jun ditangguhkan, ahli parlimen Pasir Salak itu dipecat sebagai ahli majlis tertinggi Umno yang dilantik.
Ini disebabkan perselisihan dengan presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Berikutan itu, Tajuddin mengadakan sidang akhbar mendedahkan beberapa perkara, antaranya dia mengecam Zahid, menuduhnya berbohong kepada Umno mengenai sokongan terhadap ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai