Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Yeo: Pelobi jana kuasa minta kontrak, petik 'kabel besar'

Kabel besar dan berkuasa mungkin merupakan struktur utama rantaian bekalan elektrik Malaysia dari segi literal, tetapi dari sudut kiasan ia memiliki makna lain seperti yang ditemui oleh bekas menteri sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim Yeo Bee Yin.

Yeo, dalam bukunya yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, mendedahkan bagaimana masalah kenaikan tarif elektrik dikaitkan dengan pemberian kontrak pengeluar tenaga bebas (IPP) secara rundingan langsung telah melebihi kapasiti optimum yang diperlukan untuk memenuhi permintaan maksimum.

“Apabila diberikan dengan betul melalui tender terbuka, IPP membantu mengurangkan kos penjanaan dengan membenarkan syarikat swasta yang paling kompeten menjana elektrik.

"Ia adalah anugerah langsung IPP, terutamanya di luar kapasiti optimum yang diperlukan untuk memenuhi permintaan maksimum, yang akan merugikan pengguna," katanya dalam buku bertajuk ‘The Unfinished Business’ .

IPP ialah entiti yang memiliki dan mengendalikan kemudahan menjana kuasa elektrik untuk dijual kepada utiliti, contohnya, Tenaga Nasional Berhad di Semenanjung Malaysia.

Semasa berkhidmat selama 20 bulan, Yeo berkata dia terpaksa menangani permintaan baru dan peninggalan dari legasi BN yang memberikan kontrak secara langsung kepada IPP untuk membekalkan elektrik.

Ketika kementeriannya terus melaksanakan pembidaan terbuka untuk kontrak IPP, Yeo berkata dia menghadapi tekanan daripada pelobi "kabel besar" yang mencari kontrak rundingan terus.

"Salah satu pertemuan yang paling diingati dengan pelobi IPP ialah kumpulan tertentu dengan 'kabel sangat besar' yang gigih menuntut anugerah IPP secara rundingan terus untuk projek solar berskala besar (LSS) 250 Megawatt (MW)," kata Ahli Parlimen Bakri itu.

Yeo berkata bidaan bagi projek solar itu yang dibuka itu merupakan sebahagian sasaran baru kementerian untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh diperbaharui kepada 20 peratus dalam campuran penjanaan elektrik menjelang 2025.

“Kami juga menetapkan dasar bahawa setiap syarikat hanya boleh membida 100 MW dalam setiap pusingan bidaan LSS untuk menjadikan bidaan LSS sebagai batu loncatan untuk lebih ramai pemain tempatan berkembang.

"Untuk meletakkan sesuatu dalam perspektif, kumpulan ini menuntut anugerah secara rundingan terus untuk projek 2.5 kali lebih besar daripada kapasiti maksimum yang ditetapkan untuk bidaan terbuka," tulis Yeo.

Dilabel 'antiperniagaan'

Berikutan penolakannya terhadap tuntutan mereka, Yeo berkata kumpulan itu telah memberi gambaran negatif tentang dirinya kepada "kabel besar" mereka - bahawa dia "anti perniagaan" dalam menolak permintaan mereka yang didakwa boleh membawa masuk pelaburan langsung asing.

Dia terus menolak dakwaan mereka itu sebagai tidak masuk akal, menunjukkan bahawa syarikat lain yang dianugerahkan kontrak solar juga mampu menarik pelabur asing.

“Bukan itu sahaja, pemenang tender terbuka juga menawarkan harga paling kompetitif untuk elektrik yang dijual kepada grid,” katanya.

Yeo berkata kumpulan itu juga telah menolak tawarannya untuk menyertai sasaran tenaga boleh diperbaharui kementerian melalui cara lain.

Sebagai contoh, dia berkata kumpulan 'kabel besar' itu menolak penyertaan dalam sistem New Enhanced Dispatch Arrangement (Neda), dengan syarikat akan membina loji jana kuasa atas risiko mereka sendiri tanpa perjanjian pembelian kuasa daripada kerajaan.

Peraturan itu akan melihat setiap syarikat membida untuk menawarkan harga terendah pada masa tertentu dan mereka yang berjaya akan membekalkan tenaga yang dijana dan menerima bayaran.

“Sudah tentu, kumpulan ini dengan tegas enggan berbuat demikian.

“Secara ringkasnya, kumpulan ini mahukan anugerah IPP solar tanpa risiko.

“Mereka cuba setiap helah yang ada untuk membuat saya mengalah, tetapi saya tidak dapat melakukannya (beri kontrak itu),” katanya.

[Baca berita asal]