Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakar ekonomi ramal kadar OPR dinaikkan dua kali lagi

Meskipun pengumuman Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini tidak dipersetujui oleh banyak pihak, pakar ekonomi tetap berpendapat ia merupakan kaedah berkesan dan tindak balas yang cepat untuk menangani inflasi.

Malah pakar ekonomi dan bekas pengarah eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Zakariah Abdul Rashid berkata kadar OPR dijangka bakal meningkat sekali lagi pada akhir tahun ini dan tahun depan.

Kadar itu, katanya, boleh mencecah tiga peratus.

Walaupun meresahkan pelbagai pihak kerana boleh menyusahkan ramai orang, kata Zakariah, masyrakat perlu tahu bagaimana kadar OPR boleh mengawal inflasi.

“Sebagai satu instrumen kewangan, OPR perlu dinaikkan.

"Tindakan ini diambil untuk mengekang inflasi di Malaysia yang kelihatan sekarang ini bukan saja tiada tanda-tanda jelas akan susut malah ia berlaku di peringkat global,” katanya kepada Malaysiakini.

Zakariah Abdul Rashid

Pada 6 Julai lalu, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempatnya tahun ini.

Ia menyusul selepas bank pusat terbabit menaikkannya - juga 25 mata asas - pada Mei lalu menjadi 2.00 peratus.


Baca PANDUANKINI | Bagaimana kenaikan OPR beri kesan


Jelas Zakariah, peningkatan OPR itu dilihat sebagai satu langkah untuk ‘menjinakkan’ peningkatan indeks harga pengguna (IHP) dan kemerosotan kadar tukaran ringgit Malaysia.

“Tentu sekali ada alternatif (lain berbanding menaikkan OPR), yakni melalui dasar fiskal yang cuba mempengaruhi gaya perbelanjaan kerajaan dan percukaian, misalnya, menambah lebih banyak lagi pemberian subsidi dan bantuan sosial.

“Juga ia dapat dilakukan dengan mempengaruhi pengeluaran output dan perkhidmatan serta produktiviti keseluruhan ekonomi.

"Langkah-langkah selain monetary ini bukan sahaja lebih sukar malah ia memakan masa yang sangat panjang," katanya.

Beban boleh bertambah

Tambah Zakariah peningkatan OPR akan mempengaruhi harga dana pinjaman yang akan memberi kesan kepada permintaan dan penawaran wang.

Tindakan sedemikian katanya lebih berkesan dan akan bertindak balas terhadap inflasi dengan lebih cepat.

Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya turut senada dengan Zakariah berhubung keberkesanan membendung inflasi melalui peningkatan OPR.

Kata Nazari keadaan sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk anak muda membeli rumah kerana risiko yang bakal ditanggung mereka adalah banyak dan boleh menambah beban masing-masing.

“Perlu disedari bahawa jika semua orang cenderung untuk berhutang dengan bank untuk membeli rumah, harga rumah akan sentiasa naik.

“Justeru saya mencadangkan anak muda untuk tidak berhutang untuk membeli rumah dan sebaliknya menyewa sahaja (buat sementara),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Nazari tidak menolak kemungkinan pada masa depan akan ada lebih banyak lebihan unit rumah tidak terjual.

Pada April, BH Online melaporkan sehingga Dis 2021, jumlah hartanah yang telah siap tetapi tidak terjual meningkat sebanyak 24.7 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Jumlah yang dinyatakan berdasarkan Laporan Pasaran Hartanah Tahunan 2021 yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (Napic) itu merangkumi 36,863 unit yang bernilai RM22.8 bilion.

Selangor mendahului peratusan tersebut, diikuti oleh Johor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Nazari berkata apa yang boleh dilakukan oleh rakyat adalah mengelakkan beban jangka panjang yang diakibatkan oleh kadar ‘bunga’ dengan meminimumkan hutang.

“Dalam sistem ekonomi berdasarkan industri perbankan sebagai pembekal mata wang, masalah inflasi senang terjadi jika kadar permintaan dalam ekonomi meningkat dan ramai cenderung untuk berhutang dengan bank untuk membeli rumah, kereta dan juga untuk tujuan lain.

“Cara utama membendung inflasi ialah meningkatkan OPR.

"Jika OPR tidak dinaikkan, inflasi mungkin akan bertambah teruk dan akan merugikan semua pihak juga. Ringgit juga akan merosot," katanya.