Tak perlu RCI siasat banjir di Baling, kata menteri
Tiada keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi melihat isu banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Wan Junaidi berkata sebaliknya, perkara lebih penting adalah melihat aspek penguatkuasaan undang-undang sedia ada.
Katanya RCI juga tidak mempunyai kuasa tertentu tetapi hanya mampu mengemukakan cadangan untuk pertimbangan kerajaan.
“RCI tiada kuasa menangkap (pesalah) tetapi hanya buat cadangan dan siasatan mereka biasanya akan memakan masa enam ke tujuh bulan untuk kemuka rumusan dan laporan yang akan dibentang di Parlimen.
“Akhirnya laporan mereka itu akan kembali ke jemaah menteri untuk memilih apa daripada cadangan itu yang mahu dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik penyerahan lembu korban bagi Parlimen Santubong di Kuching, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul empat petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling, Kedah mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras.
Wan Junaidi berkata isu utama yang harus dilihat dalam isu banjir di Baling adalah peranan penguatkuasa dalam menjalankan tugas mereka.
“Persoalan kini ialah bagaimana perkara ini boleh berlaku di depan mata kita sendiri, tidak mungkin kita tidak tahu. Di mana letaknya pegawai perhutanan dan pihak penguat kuasa lain. Ini isu bagaimana pihak penguat kuasa menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Jangan ada memihak,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu harga barang, Wan Junaidi berkata perkara itu tidak perlu.
Jelasnya ini kerana persidangan Dewan Rakyat sememangnya akan bermula 18 Julai ini dan ahli parlimen boleh mengemukakan sebarang usul semasa persidangan itu.
“Satu persidangan khas (Parlimen) juga akan menelan belanja besar di mana setiap ahli parlimen dan pegawai perlu dipanggil.
“Pada persidangan (18 Julai nanti) Ahli parlimen boleh bawa usul dan terserah pada Speaker untuk pertimbangkan,” katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai