Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Mat Hasan seperti kalah sebelum bertarung

Minggu ini terdapat dua orang ‘Mat’ menjadi popular dalam kalangan rakyat. Pertama, filem Mat Kilau, dan kedua, berita Mat Hasan yang dipetik Asia Times sebagai berkata, Najib Razak perlu ke penjara akibat kesalahannya.

Berita Tok Mat - atau Mohamad Hasan - lebih mengemparkan. Buat seketika, rakyat dihidangkan satu laporan media menampilkan keberanian orang nombor dua Umno melawan kleptokrasi.

Tetapi, selepas berita itu keluar, Mat Hasanmenafikan kenyataan tersebut. Dia mendakwa ulasannya diambil oleh Asia Times di luar konteks. Kemudian - seperti biasa - berduyun-duyun pemimpin Umno cuba mempertahan timbalan presiden mereka.

Puad Zarkashi, bekas kepala Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno berkata Asia Times cuba spin temu bual Mat Hasan bagi menimbulkan “cerita panas bodoh”.

Demi menjaga integriti, Nick Kochan dan Nile Bowie, dua orang wartawan Asia Times yang menemu bual Mat Hasan, mendedahkan rakaman penuh temu bual di media sosial.

Nampaknya, Asia Times bukan cuba buat cerita bodoh.

Bak kata pepatah Melayu terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata badan binasa. Tapi, dalam politik, ia boleh jadi sebaliknya. Walaupun terlajak kata berapa banyak sekalipun, ada 1,000 langkah lagi untuk Mat Hasanmenafikan kenyataan berkenaan.

Gambar fail

Bagaimana pula kalau Mat Hasan tidak buat pusingan-U dan kekal dengan pandangan bahawa Najib perlu masuk penjara? Apakah Mat Hasan akan hilang segala-galanya? Apakah Umno terus tumbang?

Jika Mat Hasan konsisten dengan kenyataannya seperti disiarkan Asia Times, sekurang-kurangnya akan adalah pemimpin Umno kelihatan masih mementingkan prinsip dan integriti.

Mungkin, lebih layak menjadi perdana menteri berbanding Ismail Sabri Yaakob.

Sudah pasti sebahagian daripada warlord Umno dan penyokong tegar Najib akan mengutuk Mat Hasan. Namun, di sana masih ada sebahagian besar rakyat akan memberi perhatian dan sokongan kepada Mat Hasan.

Mengapa berpaut pada Najib

Dalam kata lain, bekas menteri besar Negeri Sembilan itu boleh memenangi hati Malaysia jika tekal dengan pandangannya bahawa Najib memang perlu ke penjara atas kesalahan yang dilakukan kepada negara dan bangsa.

Menampilkan Mat Hasan mengetuai Umno dan BN sudah pasti memberi saingan hebat kepada pihak lawan pada pilihan raya umum (PRU) akan datang. Kejayaan Mat Hasan menjadi pengarah pilihan raya memenangkan BN dalam dua pilihan raya negeri (PRN) cukup membuktikan dia punyai kelebihan tersendiri.

Dari sudut yang berbeza, Mat Hasan tahu Najib bukan faktor utama BN memenangi dua PRN berkenaan. Faktanya, peratusan undi dimenangi BN dalam PRN Melaka dan Johor sama dengan apa yang mereka dapat pada PRU ke-14.

Peratusan keluar mengundi rendah dan perpecahan pembangkang merupakan faktor utama BN kembali menjadi kerajaan dengan majoriti besar.

Jadi, mengapa Umno masih berpaut pada Najib? Bukankah Umno sepatutnya menjauhi Najib dan isu skandal 1MDB untuk memasuki PRU ke-15?

Kalau mengikut sejarah, orang nombor dua Umno antara yang paling kontroversi dan selalunya ‘melawan’ presiden. Riwayat timbalan presiden jenis rebel itu hampir sama, iaitu ditendang keluar dari saf kepimpinan parti atau dipecat.

Ia pernah berlaku ke atas Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden Umno yang berjaya menjadi presiden dan perdana menteri lebih sejak sedekad lalu hanyalah Najib. Itupun dia terpaksa menggunakan langkah politik untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi terlebih dulu.

Berdasarkan situasi hari ini, Najib bukan lagi Presiden Umno. Ahmad Zahid Hamidi pula hanyalah presiden yang berselindung di sebalik Najib dan mempunyai rekod yang terlampau buruk untuk parti.

Pembangkang masih berangan-angan

Jadi, mengapa Mat Hasan masih takut dengan Najib dan Ahmad Zahid?

Justeru kini Mat Hasan terus memilih untuk bersama kleptokrasi berbanding sebaliknya. Dia sanggup memilih Najib berbanding sebahagian rakyat Malaysia yang akan menyokong pemimpin berintegriti dalam Umno.

Ketakutan Mat Hasan kepada Najib dan Ahmad Zahid menampakkan niat terselindung Najib yang ingin kembali menjadi perdana menteri selepas PRU ke-15. Lebih daripada itu, ia memberi bayangan bahawa Umno-BN sebenarnya enggan berubah.

Mat Hasan nampaknya sudah kalah sebelum bertarung. Jika orang nombor dua Umno pun masih lagi takut dengan bayang-bayang kleptokrasi dan Najib, dakwaan yang mengatakan Umno boleh diubah tentunya retorik semata-mata.

Pada masa perlu disedari bahawa, ketika Umno-BN dilanda ribut, pembangkang pula masih canggung dalam melangkah. Ketika sebahagiannya sudah mula berkempen, sesetengah yang lain masih berangan-angan.

Inilah dilema yang akhirnya membuatkan rakyat kian muak untuk mengundi.

Isu Mat Hasan dan Asia Times itu hanya menguatkan lagi hujah kem Ismail Sabri Yaakob agar pemilihan Umno mesti diadakan segera.

Lebih lama Mat Hasan membiarkan isu Najib berlarutan, semakin kuat kem Ismail Sabri mahu menguasai Umno dan mungkin boleh mengambil alih pucuk pimpinan parti itu sepenuhnya.

Nyawa politik Mat Hasan sebagai timbalan presiden Umno bertambah genting jika Ismail Sabri dapat mengumpulkan kekuatan lebih besar untuk menghadapi pemilihan. Kecuali Mat Hasan memilih untuk bekerjasama erat dengan kem Ismail Sabri.

Persoalannya sekarang, adakah Mat Hasan dan 'kluster mahkamah' bersedia sekiranya pindaan perlembagaan Umno berkenaan pemilihan parti ditangguhkan enam bulan selepas PRU ditolak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS)?


FAKHRURRAZI RASHID ialah penyelaras penyelidik Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.