Isu ambil tanah Kg Sg Baru: Penduduk adu ke KP SPRM
Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru telah berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki di ibu pejabat badan antirasuah itu di Putrajaya .
Ini berhubung isu pengambilan tanah untuk projek pembangunan semula Kampung Bharu, Kuala Lumpur.
"Meminta SPRM untuk melihat sekiranya terdapat sebarang salah laku dan penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan oleh mana-mana pihak tertentu, serta kelemahan tadbir urus (governance) dan kepelikan (irregularities) oleh mana-mana pihak tertentu.
"Kami juga meminta SPRM menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur kesalahan jenayah rasuah berkaitan rancangan pembangunan semula di Sungai Baru, Kampung Bharu, Kuala Lumpur ini," kata Pengerusinya Lele Suzana pada satu kenyataan malam tadi.
Ibu pejabat SPRM ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan pertemuan Azam (gambar, atas) dengan wakil penduduk pada pagi semalam yang berlangsung selama dua jam.
Beberapa wakil penduduk Kampung Sungai Baru bersama anggota Pejuang pada 16 jun lalu membuat laporan SPRM berhubung dakwaan lisan oleh wakil pemaju kepada penduduk mendakwa pemaju telah ‘membelanjakan’ hampir RM42 juta.
Sementara itu, mengulas pertemuan wakil penduduk bersama ketua suruhanjaya itu, Lele Suzana berkata pihaknya amat berharap SPRM dapat menjalankan siasatan dengan segera, telus dan lebih mendalam ke atas isu pengambilan tanah ini.
"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ketua pesuruhjaya SPRM yang sudi mendengar masalah yang dihadapi oleh pemilik teres dan flat, serta komited untuk melaksanakan tindakan susulan sesegera mungkin agar pembelaan dan keadilan dapat ditegakkan buat kami semua," katanya lagi.
Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru melibatkan 64 unit rumah teres dan lapan blok pangsapuri dikenali sebagai Pangsapuri Sungai Baru dengan proses pengambilan tanah bermula sejak tahun 2016.
Pada Julai tahun lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru telah menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.
Namun, penduduk, khususnya penghuni rumah teres tidak setuju dengan kadar pampasan RM400 kaki persegi ditetapkan oleh PTGWPKL.
Sehingga kini, sebanyak 37 penduduk rumah teres tidak setuju dengan pampasan ditawarkan, manakala 27 penghuni bersetuju.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai