Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

'Lelaki tak sedarkan diri di penjara, kemudian meninggal dunia'

Ahli keluarga seorang pemilik kedai kopi di Johor Bahru menuntut kebenaran di sebalik kematiannya kerana dia didakwa dikejarkan ke hospital beberapa jam sebelum dibebaskan dari penjara Kluang selepas menjalani hukuman tujuh hari kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kim Shih Keat, 36, yang sepatutnya dibebaskan pada 28 Jun, meninggal dunia pada 9.33 pagi hari yang sama di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di Kluang.

Ini kira-kira dua jam selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital berdekatan penjara itu.

Abangnya Shih Hoe, 39, menimbulkan syak wasangka terhadap kematian itu.

Sihat sebelum masuk penjara

"Abang saya ditahan kerana memandu di bawah pengaruh pada 23 Sept tahun lepas selepas menghadiri sambutan hari jadi. Dia didakwa pada 22 Jun dan dijatuhi hukuman penjara. Dia sepatutnya dibebaskan pada 28 Jun," kata Shih Hoe ketika dihubungi Malaysiakini.

"Kami ingin tahu apa yang terjadi kepadanya. Dia sihat sebelum dihantar ke penjara," tambahnya.

Awal hari ini, Shih Hoe bersama adiknya Michelle, 33, menyuarakan rasa tidak puas hati mereka pada sidang media yang diadakan oleh bekas Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau.

Portal berita dalam talian Free Malaysia Today memetik mereka mendakwa Shih Keat mati dalam tahanan pihak berkuasa.

Mereka telah membuat laporan polis.

Panggilan dari khidmat pengebumian

Menurut laporan itu, ahli keluarga tersebut telah cuba menghubungi penjara tiga kali antara 25 dan 27 Jun untuk mengetahui tarikh sebenar Shih Keat dibebaskan, tetapi mereka diberitahu untuk menghubungi semula pada keesokan harinya.

“Pada jam 8.30 pagi 28 Jun lalu, saya menghubungi pihak penjara untuk mengetahui waktu sebenar abang saya dibebaskan dan dimaklumkan dia akan dibebaskan paling awal pada jam 10 pagi dan selewat-lewatnya jam 12 tengah hari pada hari yang sama.

“Bagaimanapun, kakak ipar saya memberitahu dia menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mengendalikan khidmat pengebumian memaklumkan bahawa abang saya telah meninggal dunia,” kata Michelle.

Dia berkata keluarga itu kemudiannya mendapat panggilan dari penjara, memaklumkan Shih Keat ditemui tidak sedarkan diri pada 7.50 pagi pada 28 Jun lalu dan dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Michelle berkata doktor yang melakukan bedah siasat mengesahkan abangnya seorang lelaki yang sihat sebelum dihantar ke hospital.

"Walaupun pakar patologi menyatakan terdapat kecederaan pada kaki, siku dan kedua-dua lututnya, doktor berkata dia tidak mempunyai penyakit dan kecederaan seperti itu tidak akan mengakibatkan kematian," katanya.

‘Mati mengejut’

Shih Keat meninggalkan balu dan dua anak perempuannya berusia empat dan enam tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Abdul Razak Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada keluarga berkenaan.

Dia berkata kes itu kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Kami masih menunggu laporan bedah siasat," katanya melalui mesej teks kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Boo menggesa polis menjemput kedua-dua Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk menjalankan siasatan bersama dan inkues berhubung kematian itu.

[Baca berita asal]