KKM mungkin kembali kompaun individu langgar SOP jika kes terus meningkat
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi peringatan bahawa penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 mungkin dikembalikan memandangkan kian ramai yang dilihat tidak mematuhinya.
Dengan gelombang jangkitan baru wabak itu telah menular di negara ini, Khairy mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi SOP Covid-19, termasuk memakai pelitup muka di kawasan tertutup.
"Kita tengok dalam banyak keadaan, di mana walau di kawasan tertutup seperti dalam bangunan, sudah ramai yang mula tak pakai pelitup muka.
"Saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup masih wajib, cuma sejak 17 April kita sudah tidak keluarkan notis kompaun," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Dia berkata ini kerana kerajaan memutuskan untuk mengutamakan pemerkasaan komuniti dan kebertanggungjawaban individu, sejajar dengan fasa peralihan ke endemik.
"Namun, jika kes terus meningkat dan dengan mendadak, Kementerian Kesihatan tidak menolak untuk menguatkuasakan semula Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) terutama terhadap mereka yang enggan pakai pelitup muka di tempat tertutup," katanya lagi.
Ditanya jika KKM menetapkan ambang tertentu sebelum menimbang untuk kembali mengeluarkan kompaun, Khairy menegaskan pihaknya berharap agar keadaan tidak akan sampai ke tahap itu.
Khairy berkata KKM tidak ingin kembali ke keadaan itu, terutama dengan negara sudah pun beralih ke fasa endemik.
Katanya lagi, kemampuan KKM untuk membuat penguatkuasaan juga terbatas kerana kuasa untuk menguatkuasakan Akta 342 tidak lagi merangkumi badan penguatkuasaan lain.
Dia juga sempat berjenaka berhubung rakan sejawatnya dalam Kabinet, yang sebelum ini ramai didapati melanggar SOP Covid-19.
"Lagipun kalau keluar notis kompaun, ramai rakan menteri saya kena," selorohnya.
Sidang media hari ini diadakan untuk memaklumkan bahawa terdapat gelombang baru penularan Covid-19 di Malaysia, dengan bilangan kes baru harian meningkat sebanyak 31 peratus pada minggu epidemik yang lalu, berbanding minggu sebelumnya.
Selain kes baru, bilangan pesakit Covid-19 yang dirawat di hospital juga meningkat 13.7 peratus, daripada 835 kepada 968 orang.
Menurut Khairy, peningkatan kes baru telah dijangka KKM.
Pihaknya juga menjangka ia akan terus meningkat dengan BA5 - sublineage varian Omicron - sudah dikesan di Malaysia.
Setakat 30 Jun lalu, KKM telah mengesan 13 kes melibatkan sublineage Omicron, dan lima daripadanya adalah BA5.
Katanya, BA5 sangat mudah berjangkit dan menjadi punca kepada peningkatan kes di seluruh dunia.
BA5 juga memiliki ciri yang dapat terlepas daripada imun, bermakna ia masih boleh menjangkiti individu yang sudah pun dijangkiti Omicron sebelum ini.
"Sebab itu kita dengar banyak kes orang alami jangkitan semula dalam masa singkat," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai