Bekas PM Jepun dalam keadaan 'kritikal'
GLOBAL | Bekas Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dilaporkan "dalam keadaan kritikal" selepas ditembak ketika berucap dalam satu kempen di bandar raya Nara pada Jumaat.
Penyandang Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, berkata petugas kesihatan sedang "bertungkus lumus" merawat Abe, lapor Agensi Anadolu.
Abe, 67, dilaporkan “ditembak dari belakang” oleh suspek yang kini sudah ditahan.
Insiden itu berlaku kira-kira 11.30 pagi waktu tempatan.
Jepun akan mengadakan pilihan raya Senat pada Ahad dan Abe berkempen untuk calon Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah.
Sekurang-kurangnya dua das tembakan kedengaran sebelum Abe rebah dan tersembam ke tanah.
Menurut saksi kejadian "dia tidak sedarkan diri dan tidak bertindak balas,” lapor NHK.
Penyerang telah dikenal pasti sebagai Tetsuya Yamagami, 41, penduduk bandar Nara. Senapang patah yang digunakan dalam serangan itu telah dirampas, menurut Agensi Anadolu.
Abe merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat - pertama pada 2006 dan kemudian sekali lagi dari 2012 hingga 2020.
Pada 20 September 2006 dia dipilih sebagai ketua LDP, ketika berusia 52 tahun.
Dia adalah perdana menteri termuda Jepun dalam era selepas perang dan rekod ini masih kekal.
Bagaimanapun, dia membuat kejutan apabila tiba-tiba meletak jawatan kerana masalah kesihatan pada 2007, ketika hanya baru setahun menjadi perdana menteri - September 2006 hingga September 2007.
Pada September 2012 , Abe kembali menerajui LDP dan kemudian membawa parti itu menang majoriti besar pada Disember.
Disebabkan masalah kesihatan dia kemudian mengumumkan peletakan jawatannya pada 2020.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai