Pemandu rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor ada 33 rekod saman
Pemandu lori yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor semalam mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki berusia 34 tahun itu juga mempunyai enam saman yang masih belum dijelaskan.
"Saringan air kencing mendapati lelaki itu negatif terhadap dadah," katanya yang dihubungi hari ini.
Pemandu tersebut kini direman tiga hari bermula hari ini dengan perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Melody Woon Sze Mun.
Terdahulu, lelaki itu yang memakai kemeja-T berwarna hitam dan berseluar jeans biru, tiba di pekarangan Mahkamah Johor Bahru dalam keadaan bergari kira-kira 10 pagi.
Semalam, polis menahan seorang pemandu lori warga tempatan yang terlibat dalam kemalangan tersebut pada 1.15 tengah hari.
Hasil siasatan mendapati kemalangan pada 9.25 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal yang dialami lori membawa muatan habuk batu berkenaan.
Raub dilaporkan berkata enam kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan kenderaan tempatan manakala enam lagi kenderaan asing.
Selain lori tersebut, sembilan kenderaan lain adalah kereta manakala masing-masing satu van dan bas.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kemalangan itu.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai