Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Perlu tubuh RCI siasat kejadian banjir di Baling - Ram Karpal

Beberapa pihak saling salah menyalahkan antara sama lain berhubung kegiatan pembalakan di Baling, Kedah yang dikatakan menjadi punca kejadian banjir yang mengorbankan nyawa pada 4 Julai lalu.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh berkata hal itu memerlukan siasatan terbuka melalui penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Dalam satu kenyataan, Ram Karpal berkata Menteri Besar Kedah, Sanusi Md Nor dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negeri itu sebelum ini.

Bagaimanapun, menteri besar ketika itu, Mukhriz Mahathir berkata kelulusan pembalakan dilakukan antara 2008 dan 2013, semasa Azizan Abdul Razak dari PAS menjadi menteri besar.

“Memandangkan banjir yang teruk dan versi yang bercanggah oleh pemimpin yang disebutkan di atas, perlu ada ketelusan dalam siasatan mengenai punca banjir kerana kejadian seperti itu tidak boleh dibiarkan berulang.

"Mereka yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan dan RCI menjadi forum terbaik untuk hal ini disiasat dengan teliti kerana pesuruhjaya mempunyai kuasa untuk menerima semua keterangan dan memeriksa semua individu yang berkaitan dengan memanggil orang tersebut untuk hadir di hadapan mereka bagi memberikan bukti," kata Ram Karpal.

Pada 4 Julai, banjir besar melanda Baling dan Gunung Jerai menyebabkan tiga kematian dan memusnahkan banyak rumah.

Pembalakan yang berlaku di hutan simpan Gunung Inas dikatakan sebagai punca kejadian.

Semalam, Takiyuddin menolak cadangan penubuhan RCI kerana pelbagai agensi kerajaan sudah menyiasat perkara itu.

Ram Karpal berkata terdapat kebimbangan bahawa ada yang cuba disembunyikan mengenai siapa yang memberikan kelulusan untuk pembukaan hutan.

Justeru katanya siasatan awam melalui RCI adalah jalan terbaik.

"Oleh yang demikian, penemuan jabatan negeri yang menyiasat perkara itu sekarang akan tertakluk kepada penelitian yang akan mengurangkan kebimbangan mengenai cubaan menyembunyikan sesuatu.

“Pakar lain juga mungkin dipanggil untuk menjelaskan perkara itu," kata Ram Karpal.