Ekonomi makin pulih, malangnya tenaga kerja wanita merosot
Dalam nada suara yang bergetar, Nurul Abdullah mengaku yang dia terlalu letih. Mana tidaknya, ibu kepada dua anak lelaki yang mengalami autisme itu sudah bertahun-tahun tidak menikmati tidur berkualiti.
Rutin hariannya tunggang-langgang. Dia hanya boleh tidur apabila anak-anaknya tidur, iaitu pada sebelah siang sekitar 10 pagi sebelum mereka bangun pada kira-kira tiga petang. Ketika itu, dia juga perlu bangun. Menikmati enaknya tidur waktu malam cuma tinggal kenangan.
Mustahil untuk buatkan mereka tidur pada waktu malam, kongsi wanita itu dengan Bernama.
“Inilah antara masalah yang dihadapi oleh anak autisme. Kita tidak boleh disiplinkan mereka sangat, tetapi tidak semua begitu. Ada yang boleh didisiplinkan,” ujarnya, menambah apabila dia cuba mendisiplinkan mereka, si abang yang berusia sembilan tahun akan buat perangai dengan kencing di atas sofa serta karpet. Si adik berumur tujuh tahun.
Di samping itu, Nurul juga perlu menyiapkan sarapan dan bekal makan tengah hari untuk suaminya bawa ke tempat kerja yang memerlukan dia bangun seawal 7 atau 8 pagi. Selepas itu, dia akan tidur dan bangun sekejap-sekejap untuk melihat keadaan anak-anaknya atau membereskan kerja rumah.
Ditanya jika dia mahu bekerja, wanita itu hanya mampu ketawa penuh ironi.
“Saya pernah bekerja semasa Dom (anak bongsunya) berusia setahun. Bekerja secara sambilan. Seronok, kerana syarikat itu besar, selain kita boleh keluar dan berpakaian cantik. Namun, terlalu memenatkan sebab saya terpaksa uruskan semua benda,” tambahnya yang kini sekadar berseluar panjang dan berkemeja-T saban hari demi keselesaan menguruskan anak-anak.
Menurutnya, ketiadaan orang untuk menjaga anak menyebabkan dia memutuskan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Dia juga mengiakan jika anaknya bukan anak berkeperluan khas, mungkin tidak sukar untuknya kembali bekerja. Namun katanya masalah penjagaan anak turut dihadapi oleh wanita yang mempunyai anak-anak normal.
Nurul memiliki ijazah sarjana muda dan sarjana dalam bidang kewartawanan dan komunikasi. Akan tetapi, seperti kira-kira dua juta wanita lain di Malaysia, dia memilih untuk meninggalkan dunia pekerjaan bagi menumpukan perhatian pada anak dan keluarga.
Malaysia adalah antara negara ASEAN yang paling rendah kadar penyertaan wanita dalam pasaran tenaga kerja, dan kini, ketika ekonominya sedang pulih daripada kelembapan akibat penularan COVID-19, jumlah kaum hawa yang kembali bekerja pula tidak begitu memberangsangkan. Rata-rata yang meraih laba daripada peningkatan peluang pekerjaan sekarang adalah lelaki.
Kaum wanita pula, sekalipun dari segi demografi lebih berpendidikan, hanya mencatatkan peningkatan kecil iaitu 0.3 peratus kepada 55.5 peratus pada April 2022, berbanding 55.2 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), penyertaan tenaga buruh lelaki meningkat 1.3 peratus kepada 82.3 peratus bagi tempoh sama.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia juga mencatatkan trend serupa namun dengan angka yang rendah sedikit.
Pensyarah ekonomi di Sunway University, Prof Yeah Kim Leng memberitahu Bernama, bagi membolehkan negara terus berkembang, ia perlu mempunyai penyertaan tenaga kerja yang tinggi membabitkan kedua-dua gender.
“Apabila anda melihat pada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, satu daripada faktor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan ialah jumlah tenaga kerja yang produktif. Justeru, lagi banyak kita gunakan sumber, maka lebih cepat negara boleh berkembang,” katanya.
Impak
Menurut pakar, dan ini disokong oleh kajian, jurang yang wujud di antara gender adalah disebabkan wanita lebih berkemungkinan menjadi suri rumah untuk menjaga anak dan keluarga, trend yang semakin meningkat disebabkan oleh penularan COVID-19. Itu adalah alasan yang paling biasa kedengaran apabila rakyat Malaysia ditanya akan sebab mereka tidak menyertai pasaran buruh. Menurut DoSM, 42 peratus daripada 7.27 juta orang memberikan jawapan itu.
Penyertaan setara wanita dalam kegiatan ekonomi negara merupakan matlamat yang telah sekian lama diusahakan oleh kerajaan. Dalam tempoh beberapa dekad yang lalu, kadar penyertaan tenaga kerja wanita (FLPR) iaitu ukuran berapa ramai wanita pada umur bekerja sesebuah negara yang bekerja atau bersedia untuk bekerja, meningkat perlahan-lahan dari 43 peratus pada 2010 kepada 52 peratus pada 2019, demikian menurut ILO. Sementara itu, data DoSM pada 2019 menunjukkan kadar penyertaan pekerja wanita ialah 55.6 peratus.
“Angka itu meningkat sebenarnya, (dan) kami gembira melihat perkembangan ini. Kami ada dasar bersasar untuk meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, namun semasa pandemik, berlaku penurunan mendadak kepada 51.3 peratus,” kata Prof Madya Dr Shanthi Thambiah daripada Program Pengajian Gender Universiti Malaya.
Malaysia bukan satu-satunya negara yang terkesan. Penularan pandemik memberi impak yang amat besar terhadap penyertaan tenaga kerja wanita di kebanyakan negara selain menjejaskan kemajuan yang dicatatkan sebelum ini. Di peringkat global pula, ramai yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik itu serta sekatan kesihatan yang dikenakan dengan sebahagian besarnya adalah wanita, sama ada terpaksa berhenti kerja atau diberhentikan.
Analisis McKinsey pada 2020 menganggarkan wanita merangkumi 54 peratus daripada mereka yang kehilangan pekerjaan ketika pandemik mengganas, sekalipun kaum hawa hanya mewakili 39 peratus daripada pekerjaan global. Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, hampir 56 peratus daripada mereka yang berhenti kerja sejak bermulanya pandemik adalah wanita, walaupun mereka merupakan separuh daripada tenaga kerja, demikian menurut Tinjauan Penduduk Semasa Banci AS (CPS) setakat November 2020.
Pakar dan kerajaan bimbang pandemik itu mungkin telah memadamkan kesemua pencapaian yang dicatat oleh wanita dalam usaha merealisasikan kesetaraan gender. COVID-19 juga menunjukkan betapa tidak terjaminnya kedudukan pekerjaan wanita selain mendedahkan ketidakseimbangan gender dalam bidang kerja penjagaan.
Pakar ekonomi Datuk Dr Madeline Berma memberitahu Bernama bahawa wanita memang bekerja, cuma kebanyakan kerja penjagaan yang mereka lakukan adalah jenis tidak bergaji.
“Yang paling penting ialah membawa mereka kembali ke pasaran buruh, khususnya selepas COVID, kerana di situlah sumber pendapatan.
“Dalam ekonomi, aspek ini penting. Katakanlah (mereka) ada wang seringgit di tangan, mereka boleh berbelanja, justeru mereka jadi pengguna, pembayar cukai dan juga pengeluar,” jelasnya.
Kesan daripada wanita meninggalkan pasaran buruh adalah besar. Menurut kajian pakar ekonomi daripada University of Akron, lebih ramai wanita yang bekerja dan memperoleh pendapatan akan menghasilkan gaji lebih tinggi buat lelaki dan wanita.
McKinsey pula melaporkan bahawa dengan kesetaraan gender, Malaysia berpotensi menambah sejumlah US$50 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasarnya menjelang 2025.
Halangan dihadapi wanita bekerja
Sekalipun dari segi demografi di Malaysia wanita lebih berpendidikan, merangkumi 61 peratus daripada perwakilan badan pelajar di universiti pada 2021 dan lebih 56 peratus daripada ahli akademik, kadar kaum hawa yang meninggalkan pasaran buruh dan tidak kembali adalah lebih tinggi.
“Kita adalah sebuah negara yang mengalami satu puncak dalam penyertaan tenaga buruh. Wanita masuk (pasaran buruh selepas tamat pengajian). Kemudian mereka keluar dan tidak kembali lagi. Negara-negara lain mencatatkan puncak berganda,” kata Berma yang juga bekas pengarah di Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Menurutnya, ramai wanita yang berhenti kerja untuk membesarkan anak atau menjaga ahli keluarga, mendapati mereka tidak boleh kembali ke pasaran kerja disebabkan tidak ada pusat penjagaan yang menepati keperluan mereka.
Menurut analisis yang dikeluarkan oleh Asia Foundation dengan kerjasama Merdeka Centre baru-baru ini, membesarkan anak, menjaga ahli keluarga dan bayaran pusat asuhan anak yang mahal adalah antara alasan biasa yang menyebabkan wanita Malaysia berhenti kerja.
Kajian Asia Foundation yang merangkumi beberapa tinjauan dalam tempoh 2020 hingga 2022, juga mendapati responden menyifatkan sokongan dalam penjagaan anak dan lain-lain bantuan berkaitan, perkembangan kerjaya, aturan kerja anjal, kebebasan kewangan serta kesihatan mental dan kesejahteraan adalah penting untuk mereka bekerja dan kekal dalam pasaran buruh.
Kajian Monster.com pada 2018 yang membabitkan 2,600 orang ibu merentasi Malaysia, Singapura dan Filipina, mendapati 75 peratus berhenti kerja kerana ketiadaan fleksibiliti, sementara 60 peratus bimbang tentang kualiti penjagaan anak di pusat asuhan dan 55 peratus berkata ketua dan persekitaran kerja tidak menyokong mereka dalam menyeimbangkan kehidupan sebagai pekerja dan ibu.
Satu lagi kekangan ialah diskriminasi gender. Pada mulanya, sesetengah majikan mungkin tidak mahu menggaji wanita, memikirkan wanita akan berhenti kerja apabila ada keluarga. Malah, jika mereka dapat kembali bekerja, sukar untuk kaum hawa mara ke peringkat lebih tinggi dalam kerjaya mereka.
Shanthi yang juga perunding prinsipal dalam satu kajian yang dijalankan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan kerajaan Malaysia bagi meningkatkan dan mengekalkan penyertaan wanita dalam pasaran sumber manusia, berkata stereotaip gender adalah perkara biasa dalam pasaran buruh.
“Jika mereka ada pilihan untuk menggaji sama ada lelaki atau wanita, mereka lebih suka (menggaji) lelaki kerana mereka anggap wanita kurang produktif. Apatah lagi wanita dalam kelompok usia melahirkan anak, akan wujud aspek keberatan untuk mengupah mereka,” ujarnya.
Pada masa ini, diskriminasi gender tidak ditegah secara jelas di Malaysia walaupun negara ini menandatangani Konvensyen PBB mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita pada 1995.
Ironinya, usaha kerajaan untuk mewujudkan persekitaran kerja lebih mesra wanita seperti menambah hari cuti bersalin kepada 90 hari, mungkin mendorong majikan untuk tidak mengupah wanita. Ada bukti anekdot bahawa sesetengah pemilik perniagaan lebih suka menggaji lelaki agar mereka tidak perlu membayar kos cuti bersalin.
Pakar ekonomi dan perniagaan tidak bersetuju dengan amalan ini dan menganggap tindakan sedemikian hanya merugikan diri sendiri.
Pengarah Negara Randstad-Malaysia Fahad Naeem memberitahu Bernama bahawa kepelbagaian dalam tenaga kerja akan meningkatkan tahap kreativiti dan produktiviti, selain mewujudkan sikap kepimpinan yang lebih empati dan dinamik kepimpinan lebih seimbang.
“Apabila lebih ramai wanita menyertai pasaran buruh, syarikat merekodkan prestasi kewangan yang lebih baik, peningkatan gaji secara keseluruhan dan ekonomi juga bertambah baik. Bagi wanita, mengejar kerjaya juga bermakna menyediakan landasan ke arah kebebasan kewangan yang akan mengupayakan mereka untuk menyasarkan masa depan kerjaya dan kehidupan yang lebih baik bagi diri sendiri dan juga keluarga,” katanya kepada Bernama menerusi e-mel.
Nurul tahu manfaat bekerja dan meraih pendapatan, yang menurutnya akan membantu kesihatan mental dan kesejahteraan dirinya. Namun, buat masa ini perkara itu tidak ada dalam perancangannya. Keutamaannya ialah anak-anak. Justeru, perlu ada pengorbanan.
“Saya (perlukan) lebih banyak sokongan, seperti bantuan dari segi menjaga anak. Saya tidak mahu ambil pembantu rumah. Justeru, saya tidak nampak jalan untuk kembali bekerja melainkan anak-anak sudah boleh mula ke sekolah tanpa masalah. Mungkin pada masa itu saya boleh bekerja secara sambilan. Bagaimanapun ini hanya perancangan saya,” ujarnya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai